Zahid didakwa atas pertuduhan rasuah pagi ini

Afiezy Azaman
Jun 25, 2019 23:36 MYT
Pada Selasa, SPRM dalam satu kenyataan berkata telah mendapat keizinan Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di Mahkamah Kuala Lumpur dan Mahkamah Shah Alam. - Gambar fail/BERNAMA
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan beberapa kes rasuah.
Beliau dijangka hadir awal pagi ini dan didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Kanun Keseksaan.
Pada Selasa, SPRM dalam satu kenyataan berkata telah mendapat keizinan Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di Mahkamah Kuala Lumpur dan Mahkamah Shah Alam keesokan hari.
“Beliau dijangka menghadapi pertuduhan mengikut Sekysen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan Sekysen 165 Kanun Keseksaan.
“Terdahulu, SPRM telah menahan Ahmad Zahid pada 10 pagi, Selasa, di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah membabitkan sistem visa luar negara (VLN).
"Beliau kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM,” menurut kenyataan itu.
Presiden UMNO itu hadir ke SPRM bagi memberi keterangan berkaitan kes sebuah syarikat swasta mengendalikan urusan kemasukan pelancong dari China untuk kegunaan peribadi.
Berdasarkan laporan media tempatan, syarikat berkenaan diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2016 bagi mengendalikan sistem Visa Luar Negara (VLN) secara dalam talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.
Laporan itu mendakwa, sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, syarikat itu sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang.
Syarikat itu juga diberi hak memungut fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.
#Ahli Parlimen Bagan Datuk #bekas timbalan Perdana Menteri #China #Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi #Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur #Mahkamah Shah Alam #Pejabat Peguam Negara #pelancong #Presiden UMNO #Rasuah #SPRM #syarikat #Visa Luar Negara