Zahid lancar ujian saringan psikometrik bagi pengambilan anggota baharu polis

Israr Khalid
April 19, 2016 14:37 MYT
Ahmad Zahid Hamidi (tengah) sewaktu majlis perasmian Malaysian Integrity Test (MIT) di Tapak Pameran Royal Malaysia Police pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016. -Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan ujian psikometrik Ujian Integriti Malaysia (MIT) pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ujian tersebut adalah kaedah yang digunakan dalam menyaring pengambilan baharu bagi jawatan konstabel, sarjan dan inspektor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ditemui pada majlis pelancaran di gerai pameran PDRM berkata ujian saringan tersebut sebenarnya sudah mula dilaksana sejak tahun lepas.
"Mereka yang lulus ujian ini sahaja akan dipanggil untuk temu duga dan setelah layak, barulah dipanggil untuk berkhidmat dengan PDRM.
"Kita sentiasa mencari cara dan langkah untuk memastikan warga PDRM terus berintegriti tinggi," katanya.
Ujian tersebut adalah penilaian berteknologi tinggi yang dibangunkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensi penyelidikannya MIMOS Berhad.
Selain pengukuran tahap integriti calon, ia juga boleh mengukur nilai kerja, pandangan positif, tingkah laku dan nilai-nilai etika seseorang calon yang diuji.
Ujian tersebut merangkumi sekitar 100 soalan yang perlu dijawab dalam tempoh 25 minit, dijalankan secara berkomputer dan bertulis di pusat temu duga yang ditetapkan PDRM di seluruh negara.
#DSA #Khalid Abu Bakar #Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia #PWTC #Zahid Hamidi