SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) diharap dapat menubuhkan Jabatan Kuantum seawal tahun depan, ujar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau selaku Timbalan Perdana Menteri berkata, jabatan itu kemudiannya berpotensi dikembangkan menjadi sebuah fakulti khusus dalam bidang kuantum.
“Ini merupakan teknologi baharu yang akan meletakkan negara kita berada di barisan hadapan bersama-sama dengan negara-negara maju yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar Ilmuwan Islam di UiTM Shah Alam, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid mencabar UiTM untuk meneroka bidang kuantum yang disifatkannya sebagai ilmu dan perniagaan masa depan.
Beliau turut menyuarakan hasrat supaya sebuah Jabatan Kuantum dapat diwujudkan di universiti itu menjelang tahun depan.
Menurut Ahmad Zahid, meskipun kecerdasan buatan (AI) berkembang dengan baik, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam penguasaan teknologi kuantum.
“AI memang baik dan telah dijalankan dengan cukup baik tetapi kuantum adalah teknologi baharu yang berdasarkan kepada dapatan teknologi yang terakhir.
“Malaysia jangan harus ketinggalan dalam perkara ini dan saya penuh keyakinan jika UiTM dapat diberikan tanggungjawab untuk menubuhkan jabatan ini pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata, bidang berkenaan mempunyai potensi besar untuk menarik penyertaan pelajar dan membentuk kelompok tenaga mahir tempatan.
Malah, beliau menjangkakan usaha itu mampu melahirkan pakar kuantum negara dalam tempoh kurang daripada satu dekad.
“Potensinya cukup besar bagi mengambil ramai pelajar untuk memasuki pengajian ini.
“Ia akhirnya dalam tempoh kurang daripada satu dekad akan melahirkan pakar-pakar kuantum di negara kita,” katanya.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi dua tujuan berkaitan pembangunan kemahiran dan teknologi di UiTM.
Ketika ditanya sama ada dana itu turut melibatkan penubuhan Jabatan Kuantum, beliau berkata sebahagiannya akan menjadi modal awal bagi merealisasikan usaha tersebut.
Pengagihan dana itu akan diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil untuk ditentukan.
“Itu saya serahkan kepada Tan Sri Khamil nanti untuk bagaimana pengagihan itu dilakukan.
“Ini cuma seed capital ataupun modal awal yang akan saya salurkan supaya langkah-langkah untuk pewujudan jabatan itu dapat dilakukan dengan segera,” katanya lagi.
Ahmad Zahid turut menyifatkan penguasaan AI, kuantum dan teknologi baharu sebagai fardu kifayah pada masa kini.
Menurutnya, penguasaan bidang berkenaan penting bagi membolehkan umat Islam mencipta penyelesaian dan membentuk masa hadapan.