Zahid tidak pernah minta saya tandatangan SD - Annuar

Madiha Abdullah
Julai 1, 2022 05:45 MYT
Annuar juga berkata, Kabinet masih belum membincangkan berkenaan PRU akan datang atau tarikhnya. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memintanya menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Beliau mengulas laporan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang sebelum ini mendakwa wujud SD dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Ahmad Zahid tidak pernah suruh saya (tandatangan SD),” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga berpendapat, pucuk pimpinan parti perlu mencari jalan bagi mengharmonikan keadaan susulan pendedahan yang dibuat itu.
“Kalau masing-masing menyerang antara satu sama lain, saya rasa mungkin ada baiknya kita tumpu kepada solidariti dan memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar juga memberitahu Kabinet masih belum membincangkan berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau tarikhnya.
Beliau juga menafikan laporan bahawa kebanyakan menteri dan timbalan menteri menyokong untuk mengadakan PRU15 menjelang Oktober.
“Sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, saya boleh katakan laporan itu adalah palsu.
“Perdana Menteri dan jemaah menteri bertemu setiap minggu dan tidak pernah ada sebarang perbincangan mengenai PRU15," jelasnya.
#Annuar Musa #Anwar Ibrahim #kabinet #pilihan raya umum #Zahid Hamidi