Zaini Ujang dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Faris Danial Razi
September 1, 2019 06:14 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Dr Zaini Ujang pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan. - BERNAMA
Berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman yang luas, peribadi yang unggul serta telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Zaini Ujang dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan bagi tahun 1441H/2019M.
Sementara bagi anugerah Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1441H pula dinobatkan kepada Ketua Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh.
Kedua-dua tokoh juga telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan ummah selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.
Penganugerahan tersebut menyaksikan kedua-dua tokoh terbabit masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 daripada Kerajaan Malaysia dan RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi berserta pingat dan sijil penghargaan.
Bukan itu sahaja, tokoh-tokoh ini akan diundang menyampaikan syarahan dalam 1st International Forum on Islamic Thought (1st I-FIT) : Revitalizing Maqasid Syariah Towards Compassionate Governance yang akan diadakan pada 3 September 2019 di Putrajaya.
Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan yang membawa tema “Negara Rahmah Ummah Sejahtera” itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
#Islam #Maal Hijrah 2019 #Mahathir Mohamad #Malaysia #Negara Rahmah Ummah Sejahtera #Perdana Menteri #Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan #Yang di-Pertuan Agong #Zaini Ujang