MELAKA: Bayaran zakat fitrah di Melaka pada tahun ini ditetapkan pada tiga kadar iaitu RM7, RM14 atau RM21 bagi seorang umat Islam di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata kadar bayaran tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada 17 Mac lepas dan ia ditetapkan berdasarkan harga semasa beras mengikut gred yang menjadi makanan rutin harian umat Islam di negeri ini.

"Umat Islam boleh mula menunaikan bayaran zakat fitrah mulai 1 Ramadan hingga awal pagi 1 Syawal dan terdapat enam saluran yang disediakan bagi memudahkan mereka.

"Mereka boleh membayar secara dalam talian melalui laman web rasmi Zakat Melaka (www.izakat.com), imbasan QRPay DuitNow, perbankan internet Maybank, portal MelakaPay, aplikasi MobilApps MelakaPay atau secara konvensional melalui amil atau pegawai syarak yang dilantik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata kutipan zakat fitrah di Melaka pada tahun ini disasarkan meningkat sebanyak 2.07 peratus iaitu kepada RM5.15 juta, berbanding RM5.05 juta pada tahun lepas.

Katanya, jumlah pembayar zakat pula dianggarkan seramai 662,144 orang pada tahun ini.

Selain itu, Sulaiman berkata insiden kematian ribuan ikan tamban pias di Sungai Tuang di Alor Gajah di sini, tiada kaitan dengan sebarang pencemaran atau tumpahan minyak di sungai berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata kejadian itu dipercayai berlaku akibat tindakan nelayan atau pihak lain yang memasang jaring hanyut atau pekap di sekitar pantai tersebut.

Katanya, mereka dipercayai membuang ikan berkenaan kerana tidak mempunyai nilai di pasaran disebabkan berbau hanyir, tawar dan mempunyai banyak tulang.

"Berdasarkan laporan siasatan yang diperoleh daripada Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah, bangkai ikan tersebut ditemui terdampar di sepanjang pantai bermula dari Kompleks Perahu Layar sehingga ke muara Sungai Tuang melibatkan jarak kira-kira 1.3 kilometer.

"Hampir semua bangkai ikan tersebut bersaiz kira-kira 12.7 sentimeter dan tiada spesies ikan lain ditemui mati. Sampel bangkai ikan tersebut juga telah diambil untuk siasatan lanjut," katanya.

Semalam, media melaporkan ribuan bangkai ikan ditemui terdampar di sepanjang pesisir pantai di Sungai Tuang yang turut menyebabkan bau kurang menyenangkan.

-- BERNAMA