MALAYSIA

Zakat fitrah di Perak ditetapkan RM10, RM16 dan RM25 - Timbalan Mufti

Abd Razak Mohd Ali 03/02/2026 | 04:00 MYT
Zamri mengingatkan kadar pertama RM10 adalah kadar minimum, dan sesiapa sahaja yang membayar RM10 telah menunaikan kewajipan zakat fitrah mereka tanpa mengira jenis beras yang dimakan. - Astro AWANI
IPOH: Kadar bayaran zakat fitrah di Perak bagi tahun 1447H/2026M ditetapkan sebanyak RM10, RM16 dan RM25 seorang, berdasarkan harga dan jenis beras, pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim berkata kadar RM10 adalah bagi mereka yang menggunakan beras putih beras import dan beras super spesial tempatan 5%.

"Bagi yang memakan beras perang, beras rebusan, herba ponni dan beras wangi atau seumpamanya, mereka digalakkan membayar RM16 manakala pengguna beras basmati, beras Jepun, beras pulut dan beras merah atau seumpamanya digalakkan membayar RM25,” katanya pada majlis pengumuman kadar zakat fitrah itu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) Syamsul Hazeman Md Salleh dan Pengurus Besar Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR), Ahmad Nazim Md Tajuri.

Tahun lepas, kadar zakat fitrah bagi tiga beras berkenaan di Perak ditetapkan masing-masing RM10, RM16 dan RM27.

Zamri menjelaskan, penetapan kadar pilihan ketiga tahun ini ditetapkan pada RM25 berbanding RM27 tahun lalu dibuat berdasarkan realiti harga beras yang digunakan oleh masyarakat Islam di Perak.

Menurutnya, perbandingan harga dibuat berdasarkan data daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Unit Kawal Selia Beras serta kajian lapangan di pusat-pusat perniagaan yang menjual beras.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kadar pertama RM10 adalah kadar minimum, dan sesiapa sahaja yang membayar RM10 telah menunaikan kewajipan zakat fitrah mereka tanpa mengira jenis beras yang dimakan.

“Kadar seterusnya adalah kadar pilihan, walaupun begitu, kebanyakan umat Islam di Perak cenderung membayar berdasarkan jenis beras yang mereka makan, dan itu adalah lebih afdal, namun bayaran RM10 tetap sah.

“Sekiranya seseorang ingin membayar lebih, ia adalah lebih baik kerana manfaatnya akan kembali kepada golongan fakir dan miskin,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Nazim berkata, ZAPAT melantik seramai 1,735 penolong amil fitrah bagi melancarkan urusan kutipan fitrah.

Menurutnya, jumlah itu berkurang berbanding lebih 1,900 orang tahun lalu kerana ramai pembayar fitrah telah beralih kepada pembayaran secara digital, di samping ada amil yang tidak lagi berminat.

Katanya, data tahun lalu menunjukkan separuh daripada RM15.2 juta jumlah bayaran zakat fitrah yang diterima adalah melalui kaedah dalam talian.







#zakat fitrah #kadar bayaran #zamri hashim #beras