Lembaga Zakat Negeri Kedah mengambil pendekatan memperkenalkan kaedah pembayaran zakat secara pandu lalu atau "drive-thru" di Menara Zakat Alor Setar bagi memudahkan masyarakat negeri itu menunaikan kewajipan terbabit khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Kedah, Zakaria Othman, inisiatif tersebut bermula pada Isnin lalu dengan tempoh operasi selama empat jam bermula pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Pendekatan cara baharu pembayaran zakat itu, kata beliau, akan menekankan pematuhan terhadap garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pematuhan itu diberi penekanan dalam usaha membantu membendung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pihak yang terlibat dengan proses pembayaran zakat.

Selain daripada pembayaran secara pandu lalu, beliau berkata, proses pembayaran zakat juga boleh dibuat kepada amil di kariah masing masing bermula 3 Mei ini selain di Kaunter Pejabat Zakat Daerah yang akan mula beroperasi pada 10 Mei.

Tambah Zakaria, perbezaan tarikh pembayaran zakat melalui beberapa kaedah itu adalah bagi memudahkan proses pendokumentasian dan penyerahan kutipan daripada amil di peringkat kariah kepada Pejabat Zakat Daerah masing-masing.

"Amil-amil akan mengutip zakat fitrah di kariah masing masing mulai 10 Ramadan hingga ke malam raya dan juga kaunter zakat fitrah di semua pejabat zakat daerah kita buka melalui 17 Ramadan.

"Jadi di (setiap) kariah, orang ramai boleh mula bayar (mulai) 10 Ramadan (manakala) Pejabat Zakat Daerah akan mula operasi sejak 17 Ramadan. Ini bagi memudahkan amil-amil untuk serahkan duit kutipan zakat di kariah masing masing, cuma kaunter pandu lalu di Menara Zakat Alor Setar sudah mula beroperasi sejak kelmarin," kata Zakaria.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggalakan orang ramai di negeri Kedah untuk membayar zakat secara dalam talian bagi mengelakkan orang ramai keluar berkumpul dalam tempoh penguatkuasaan PKP.

Setakat lima hari beroperasi secara atas talian, Zakat Kedah berjaya mengumpul kutipan zakat fitrah sebanyak RM217,293 berbanding RM14,101.21 pada tahun terdahulu.

Kutipan zakat fitrah di Kedah adalah berdasarkan pada empat kadar bagi tahun ini iaitu RM5 bagi pengguna beras Super Tempatan (10 hingga 15 peratus hancur) dan RM7 bagi Beras Super Spesial Tempatan (5 peratus hancur).

Manakala, bagi pengguna beras import, beras wangi serta beras perang pula dikenakan kadar sebanyak RM14 manakalah kadar RM21 bagi pengguna beras Basmathi, beras Jepun dan beras Merah.