Skip to main content

Malaysia

Zakat Selangor lancar ‘Kerana Zakat’, seru tunai kewajipan sebelum tahun berakhir

Mohd Khaidzir menyeru umat Islam yang layak menyegerakan bayaran zakat sebelum akhir tahun bagi membantu golongan asnaf. - Kredit Zakat Selangor
Mohd Khaidzir menyeru umat Islam yang layak menyegerakan bayaran zakat sebelum akhir tahun bagi membantu golongan asnaf. - Kredit Zakat Selangor

Advertisement

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) melancarkan kempen ‘Kerana Zakat’ bagi menyeru umat Islam yang layak menyegerakan bayaran zakat sebelum akhir tahun, sekali gus menyokong keperluan lebih 82,000 keluarga fakir, miskin dan mualaf di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata, kempen berslogan ‘Kita Peduli’ itu mengajak masyarakat bersama-sama memastikan golongan asnaf terus mendapat bantuan untuk meneruskan kehidupan dan membina masa depan yang lebih baik.

“Kita ingin menyampaikan kepada pembayar zakat kita, setiap ringgit yang mereka salurkan akan memberikan satu kesan yang positif kepada setiap asnaf, sama ada mereka memerlukan tempat tinggal yang lebih baik, mereka memerlukan pelajaran, mereka memerlukan bantuan untuk perusahaan mereka ataupun mereka memerlukan bantuan untuk perubatan mereka.

“Jadi, kita ada masa lagi, tiga bulan, insya-Allah. Ramai-ramailah, ayuh, jika anda semua sudah layak untuk membayar zakat, bayar, tunaikanlah zakat ke Lembaga Zakat Selangor sebelum terlambat,” katanya pada Majlis Sepetang Bersama Media dan Pelancaran Kempen Hujung Tahun Zakat Selangor 2026 di sini, pada Selasa.

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, Zakat Selangor telah mengagihkan lebih RM750 juta dana zakat menerusi pelbagai bentuk bantuan, termasuk program pembangunan asnaf.

Bantuan berkenaan merangkumi keperluan asas, pendidikan, perubatan, kebajikan serta pembangunan ekonomi.

Image
KEMPEN ZAKAT SELANGOR INSERT
Mohd Khaidzir Shahari (kiri) melancarkan kempen ‘Kerana Zakat’ berslogan ‘Kita Peduli’ bagi menyokong keperluan lebih 82,000 keluarga asnaf di Selangor. - Kredit Zakat Selangor

Menurut Mohd Khaidzir, tanggungjawab menyantuni asnaf memerlukan sokongan pembayar zakat serta pengurusan dana yang memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang berhak.

“Kepedulian ini adalah tanggungjawab bersama. Pembayar zakat menunaikan kewajipan mereka, manakala Zakat Selangor mengurus amanah tersebut supaya manfaatnya sampai kepada golongan yang berhak.

“Melalui zakat, kita dapat bersama-sama membantu asnaf meneruskan kehidupan dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sepanjang kempen yang berlangsung dari Oktober hingga Disember itu, pelbagai program disusun bagi menzahirkan kepedulian terhadap asnaf serta memperkukuh kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap manfaat zakat.

Antara pengisiannya termasuk ziarah asnaf, agihan bantuan persekolahan sesi 2027, latihan dan bantuan keusahawanan serta inisiatif kerjaya asnaf, di samping aktiviti dakwah dan komuniti.

Beberapa siri program bersama pembayar zakat turut dirancang bagi memberi peluang kepada mereka mendekati dan memahami kehidupan asnaf, sekali gus mengeratkan hubungan dengan penerima manfaat.

Dalam perkembangan sama, Zakat Selangor turut mengadakan pertukaran dokumen kerjasama strategik dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) bagi menyediakan kediaman kepada asnaf di Selangor.

Mohd Khaidzir berkata, kerjasama itu memanfaatkan kepakaran SPNB dalam menyediakan perumahan kepada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), selain menggabungkan subsidi kerajaan dengan dana zakat.

“Jadi, apabila kita bekerjasama dengan SPNB, kita menggunakan kepakaran mereka di dalam menyantuni golongan B40 untuk Rumah Mesra Rakyat. Kita kolaborasi dengan mereka supaya mereka boleh menjadi kontraktor untuk membina rumah kalau ada asnaf yang memerlukan.

“Jadi, kita juga mengambil kesempatan menggunakan komponen subsidi kerajaan itu dan juga wang zakat. Jadi, kedua-dua subsidi dan wang zakat ini, bila kita gunakan dan kita satukan, dia dapat menghasilkan sebuah rumah yang akan didiami oleh asnaf kita,” jelasnya.

Image
KEMPEN ZAKAT SELANGOR INSERT
Mohd Khaidzir Shahari (kiri) bersama wakil Syarikat Perumahan Negara Berhad pada sesi pertukaran dokumen kerjasama bagi menyediakan kediaman kepada asnaf menerusi Program Rumah Mesra Rakyat. - Kredit Zakat Selangor

Menerusi kerjasama berkenaan, Zakat Selangor membiayai baki kos pembinaan rumah bagi asnaf yang layak selepas ditolak subsidi kerajaan.

Spesifikasi rumah turut ditambah baik supaya selaras dengan standard rumah bantuan Zakat Selangor dan berada dalam keadaan siap untuk didiami.

Beliau berharap pendekatan itu dapat meningkatkan kecekapan penggunaan dana zakat, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai keluarga asnaf menikmati kediaman yang lebih baik.

Majlis berkenaan turut meraikan rakan media sebagai penghargaan atas kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat mengenai zakat serta pelbagai inisiatif bantuan dan pembangunan asnaf kepada masyarakat.

Mohd Khaidzir berharap hubungan itu dapat diteruskan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai zakat serta peranan Zakat Selangor dalam menyantuni golongan berkenaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti dan program sepanjang kempen ‘Kerana Zakat’ menerusi laman web jom.zakat4u.com.my⁠ atau saluran media sosial rasmi Zakat Selangor.

Must Watch Video

Advertisement