MALAYSIA

Zambry beri bayangan rombakan Kabinet dalam masa terdekat?

Faida Rahim 07/11/2025 | 10:06 MYT
Spekulasi rombakan Kabinet muncul susulan ucapan Zambry tentang tempohnya sebagai Senator yang dijangka tamat awal Disember ini. - Bernama
PUTRAJAYA: Spekulasi mengenai rombakan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan semakin hangat selepas ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir seolah memberi bayangan susulan tempohnya sebagai Ahli Dewan Negara bakal berakhir awal Disember ini.

Zambry yang berucap pada Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kedudukannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menekankan agenda negara kekal menjadi keutamaan.

"Jadi, sekali lagi saya harap sokongan daripada Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) yang tidak berbelah bahagi untuk tahun-tahun yang akan datang (bagi penganjuran Festival Idea Putrajaya).

"Sama ada saya masih menjadi menteri Kabinet ataupun tidak, itu soal nombor dua, tetapi ini adalah agenda negara sebab saya pun tak lama, dua tiga minggu lagi," katanya di sini, hari ini.

Susulan kenyataan beliau mengenai tempoh masa sebagai menteri kabinet akan berakhir tidak lama lagi, Zambry menjelaskan bahawa kenyataannya hanyalah gurauan dan tidak berkaitan dengan kedudukannya sebagai ahli Kabinet.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025.

Zambry turut memaklumkan bahawa beliau telah menjelaskan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tak ada apa-apa. Itu gurauan saya sahaja waktu saya sampaikan ucapan tadi," katanya sambil menambah bahawa beliau telah menjelaskan perkara itu kepada Perdana Menteri.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan pelanjutan jawatan, Zambry berkata beliau tidak mengetahui apa-apa mengenainya.

“Saya tak tahu apa-apa pun. Saya hanya menjalankan tugas sebagai menteri selagi ini kehendaki. Itu sahaja," katanya.

Ucapan Zambry di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan perubahan Kabinet dalam masa terdekat.

Tempoh keanggotaan Zambry sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir pada 2 Disember depan selepas mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Luar dan seterusnya sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.

Turut mengangkat sumpah pada tarikh sama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul merupakan satu-satunya senator yang berkhidmat selama dua penggal berbanding tiga yang lain.


#Zambry Abdul Kadir #spekulasi rombakan Kabinet #tempoh perkhidmatan #Ahli Dewan Negara #agenda negara