Zelenskyy dakwa Rusia terus ancam loji nuklear

Astro Awani
Ogos 15, 2022 23:15 MYT
Anggota tentera Rusia dilihat mengawal kawasan logi tenaga nuklear Zaporizhzhia di Ukraine. - Foto AP
KIEV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mendakwa Rusia mengancam loji tenaga nuklear di Ukraine dan menggesa agar sekatan baharu dikenakan sebagai tindak balas terhadapnya.
Dakwa Zelenskyy, Rusia terus menggunakan loji kuasa nuklear Zaporizhzhia sebagai perlindungan untuk serangan ke atas bandar berdekatan.
Beliau turut memberi amaran bahawa kehadiran tentera Rusia di sekitar loji tenaga nuklear terbesar Eropah mengancam benua itu.
"Sebarang insiden radiasi di loji kuasa nuklear Zaporizhia boleh memberi kesan kepada negara-negara Kesatuan Eropah, dan kepada Turki, serta kepada Georgia, dan negara-negara dari kawasan yang lebih jauh.
"Segala-galanya hanya bergantung pada arah dan kekuatan angin. Jika tindakan Rusia membawa kepada malapetaka, akibatnya mungkin menimpa mereka yang berdiam diri setakat ini," katanya.
Sebelum ini, Ukraine dan Rusia saling tuduh-menuduh menyalahkan satu sama lain mengenai serangan ke atas loji Zaporizhzhia, yang menjana satu perempat jumlah tenaga elektrik Ukraine.
Jika kemalangan berskala besar berlaku di loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia, yang merupakan antara loji terbesar di Eropah, bencana lebih dahsyat daripada kemalangan nuklear Fukushima di Jepun boleh terjadi.
#Volodymyr Zelenskyy #loji tenaga nuklear #sekatan #serangan