KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz belum lagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Ini adalah kerana peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib belum lagi selesai melakukan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan BSI Bank, Kevin Micheal Swampillai, yang merupakan saksi ke-44 pendakwaan sebelum meneruskannya dengan Zeti sebagai saksi.

Terdahulu, Zeti yang merupakan saksi yang ditunggu-tunggu di dalam perbicaraan ini hadir di mahkamah pada pukul 1.54 tengah hari kerana beliau dijadualkan memberikan keterangan sebagai saksi ke-46 pendakwaan.

Difahamkan, Zeti akan hadir lagi ke mahkamah esok.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee, Swampillai memberitahu mahkamah bahawa sebarang transaksi berkaitan 1MDB akan memberi fi yang paling lumayan kepada bank itu.

Beliau berkata transaksi melibatkan 1MDB adalah besar dan fi yang diperoleh bank itu juga memang lumayan.

Dalam prosiding sebelum ini, Swampillai telah memberikan keterangan bagaimana beliau dan bekas rakan sekerjanya Yeo Jiawei mampu mendapat keuntungan untuk mereka dengan mengendalikan transaksi 1MDB dan saksi itu mengakui beliau memperoleh komisen hampir US$6 juta daripada bank itu di atas peranannya dalam melaksanakan transaksi berkaitan 1MDB dengan BSI Bank.

Bagaimanapun, wang itu telah dikembalikan selepas pihak berkuasa Singapura memulakan siasatan dan menyoal siasat beliau mengenai wang yang diterimanya itu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA