KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan mengadakan sidang media pada Isnin berhubung isu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah Kumpulan MYEG, sebagai ejen kutipan jabatan itu.
Berdasarkan laporan Bernama, sidang media itu dijadual berlangsung di Bilik Media, Kementerian Pengangkutan pada jam 11 pagi.
Pada Jumaat, (JPJ) akan menggantung perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut bagi pihak jabatan itu, berkuat kuasa 12.01 pagi, 5 Oktober.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian ditetapkan, selain obligasi syarikat berkenaan yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan.
“Selaras dengan keputusan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai tarikh berkenaan.
“JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Aedy Fadly berkata tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang dibuat menerusi saluran MYEG sebelum 5 Oktober masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.