Skip to main content

Malaysia

Zetrix AI Bhd masih belum lunas tunggakan RM314 juta - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke meninjau sekitar Stesen LRT Masjid Jamek pada Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek di ibu negara hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke meninjau sekitar Stesen LRT Masjid Jamek pada Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek di ibu negara hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Zetrix AI Bhd, di bawah kumpulan MYEG, masih belum melunaskan tunggakan kutipan kerajaan berjumlah RM314 juta.
  • Penggantungan perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd tidak menjejaskan urusan JPJ kerana pengguna boleh menggunakan aplikasi MyJPJ sebagai alternatif.
  • Kerajaan telah memberi 35 peringatan dan mengadakan beberapa sesi libat urus sebelum menggantung perkhidmatan kedua-dua syarikat tersebut.

KUALA LUMPUR: Syarikat di bawah kumpulan MYEG, Zetrix AI Bhd masih belum melunaskan tunggakan hasil kutipan kerajaan berjumlah RM314 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun penggantungan itu tidak menjejaskan perkhidmatan JPJ kepada orang ramai kerana urusan berkaitan masih boleh dilakukan menerusi saluran alternatif, termasuk aplikasi MyJPJ.

Menurutnya, pengguna masih boleh mengakses maklumat serta menjalankan transaksi seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu seperti biasa.

“Perkhidmatan lain dijalankan oleh MyJPJ. Bukannya tiada pilihan, tidak ada gangguan. Jadi bagi pengguna-pengguna, tidak ada masalah.

“Kita tidak menghadapi masalah dalam tempoh dua minggu ini. Pembaharuan cukai jalan dan lesen dapat diakses oleh orang ramai seperti biasa kerana ramai sekarang ini telah beralih kepada penggunaan aplikasi MyJPJ.

“Dari segi pembayaran, masih belum lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek di ibu negara pada Khamis.

Pada 5 Oktober lalu, Loke memaklumkan perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan JPJ digantung selepas kedua-dua syarikat gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September.

Menurutnya, tindakan penggantungan itu dibuat selepas kedua-dua syarikat gagal melunaskan tunggakan berkenaan meskipun 35 peringatan telah diberikan, selain beberapa siri sesi libat urus diadakan pihak berkuasa sejak Mei lalu.
 

Must Watch Video

Advertisement