Skip to main content

Malaysia

Zii Jia kongsi kisah sokongan Axelsen ketika dilanda kecederaan

HORSENS (DENMARK), 23 April -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia semasa ditemu bual Bernama pada kejohanan Piala Thomas dan Uber 2026 Denmark hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Zii Jia berkata legasi Axelsen tidak dapat disangkal,  apabila pemain Denmark itu merupakan individu yang mencorakkan satu era dalam badminton perseorangan lelaki. - Gambar fail/Bernama

HORSENS: Tidak semua persaingan dibayangi ketegangan.

Bagi pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia, hubungannya dengan bekas pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, menyerlahkan sisi lain sukan itu yang berteraskan saling menghormati dan memberikan sokongan ketika di luar gelanggang.

Advertisement

Ketika Axelsen mengumumkan bersara daripada pentas antarabangsa baru-baru ini, Zii Jia memberikan penghormatan bukan sahaja kepada seorang lawan yang dominan, tetapi juga kepada individu yang banyak membantu ketika melalui antara fasa paling sukar dalam kariernya.

Pada tahun lepas Zii Jia bergelut dengan kecederaan, dan juara Olimpik dua kali itu berusaha membantu mendapatkan rawatan perubatan.

“Tahun lepas saya mengalami kecederaan belakang dan dia banyak memberikan nasihat kepada saya dan memperkenalkan doktornya kepada saya. Saya ada bertanya kepada Axelsen (cara mengatasi  kecederaan)  kerana kes saya agak sama dengannya, tetapi kecederaannya lebih serius.

“Beliau kemudian meminta saya menghantar laporan MRI kepadanya, dan dia menyerahkannya kepada rakannya yang juga seorang pakar bedah. Kemudian, saya memperoleh nombor telefon dan kami mula berhubung melalui panggilan telefon,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber 2026 di Forum Horsens, di sini.

Pemain yang kini menduduki ranking ke-82 dunia itu berkata hubungan mereka juga semakin rapat apabila berlaku insiden yang tidak sangka di Eropah sebelum ini, apabila berlaku masalah dalam jadual penerbangan, yang kemudian bertukar kepada acara makan malam bersama-sama.

“Penerbangan kami dibatalkan ketika berada di Amsterdam, kemudian beliau ajak keluar dan kami pergi makan malam.

“Kami berkongsi pelbagai cerita di luar gelanggang termasuk hobi masing-masing. Dia seorang pemain senior yang sangat baik dan tidak lokek memberikan nasihat,” katanya.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkata legasi Axelsen tidak dapat disangkal,  apabila pemain Denmark itu merupakan individu yang mencorakkan satu era dalam badminton perseorangan lelaki.

Walaupun mereka seteru di gelanggang, pemain berusia 28 tahun itu mengakui berasa bertuah berpeluang bersaing dengan Axelsen, yang memenangi tujuh daripada 10 pertemuan antara mereka.

“Sudah tentu saya akan merindui detik-detik ketika beraksi menentangnya. Secara peribadi, saya berasa bertuah kerana pernah menewaskannya.

“Beliau seorang pemain yang hebat, saya juga tidak pernah berpeluang menentang Lee Chong Wei mahupun Lin Dan (China). Itu sesuatu yang saya banggakan,” katanya.

Pada 15 April, Axelsen mengumumkan persaraannya susulan kecederaan belakang yang sering dialaminya, sekali gus menutup tirai karier gemilangnya dalam sukan badminton.

Selain memenangi pingat emas Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, pemain berusia 32 tahun itu turut meraih dua gelaran dunia pada 2017 dan 2022, serta menjadi sebahagian daripada skuad Denmark yang menjulang satu-satunya kejuaraan Piala Thomas negara itu pada 2016.

Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber 2026 yang bermula hari ini akan berlangsung hingga 3 Mei.

Malaysia yang pernah muncul juara sebanyak lima kali, akan memulakan aksi Kumpulan B menentang England esok, diikuti Finland pada 27 April, sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang juara 2014, Jepun pada 29 April.

-- BERNAMA

Must Watch Video