Zika: Belum ada keputusan berhubung pengguguran kandungan - Menteri Kesihatan

Hilal Azmi
September 29, 2016 05:44 MYT
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pelan Tindakan Kesihatan Awam Kebangsaan 2016 di sini hari ini. - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Keputusan berhubung keperluan menggugurkan kandungan wanita yang dijangkiti virus Zika belum dicapai biarpun perbincangan Kementerian Kesihatan bersama Majlis Fatwa Kebangsaan telah berlangsung.
Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata semua maklumat saintifik telah dikongsikan bersama Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu berkenaan.
"Perbincangan sudah dibuat, semua dapatan saintifik berkaitan cadangan (pengguguran kandungan) telah diberi.
"Pihak Majlis Fatwa Kebangsaan kini meneliti semua aspek yang diperlukan dan setakat ini tiada keputusan dibuat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pelan Tindakan Kesihatan Awam Kebangsaan 2016 di sini hari ini.
Sebelum ini, Kabinet mengarahkan pihaknya berbincang berhubung perkara itu dengan mengambil kira faktor saintifik dan hukum syarak.
Buat masa ini, tiada polisi berkenaan pengguguran janin yang dijangkiti virus Zika di negara ini.
Mengikut undang-undang sedia ada, pengguguran kandungan hanya boleh dibuat jika membahayakan kesihatan ibu, bukannya anak.
#gugur kandungan #Menteri Kesihatan #S. Subramaniam #Zika