Zouk KL sangkal dakwaan diskriminasi terhadap atlet paralimpik Josh Sundquist

Syafique Shuib
April 15, 2016 06:39 MYT
Zouk KL menjelaskan Josh Sundquist menari di pentas khusus untuk wanita. -Gambar blog.joshsundquist.com
Kelab hiburan Zouk KL mempertahankan tindakannya untuk tidak membenarkan atlet paralimpik Josh Sundquist untuk menari di pentas khusus untuk wanita.
Zouk KL dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook mengesahkan telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menjawab dakwaan Sundquist yang dikongsi di laman YouTube bahawa kelab malam itu merampas tongkatnya.
Dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi 10 April, kelab malam itu menjelaskan bahawa seorang pengawal keselamatan berjumpa Sundquist yang ketika itu sedang menari dan memberitahu bahawa pentas berkenaan khusus untuk wanita.
BACA: Atlet paralimpik AS rasa dihina selepas kelab hiburan KL rampas tongkatnya
“Beliau mengabaikan pengawal keselamatan itu dan terus menari.
“Wanita yang bersamanya (Ashley) turun dan menyuruhnya untuk turun sekali,” kata kenyataan itu.
Beberapa minit kemudian, seorang pengawal keselamatan yang lain menuju ke arah Sundquist dan sekali lagi memberitahunya bahawa pentas itu khusus untuk wanita.
Sundquist didakwa cuba melawan apabila pengawal keselamatan memegangnya.
Zouk KL dalam kenyataan itu turut berkata bahawa rakaman CCTV menunjukkan dua pengawal keselamatan memegang Sundquist di sebelah kiri dan kanan sambil membantunya turun dari pentas.
Kelab malam itu juga menyangkal dakwaan bahawa pengawai keselamatan berkenaan mengambil tongkatnya.
“Kedua-dua pengawal keselamatan itu memulangkan tongkatnya dan membiarkan dia bersama rakan-rakan yang lain.
Zouk KL menjelaskan bahawa mereka tidak pernah mendiskriminasi golongan orang kurang upaya (OKU) sejak mula beroperasi pada 2004.
“Tindakan mereka adalah kerana kewajipan profesional,” kata kelab malam itu.
Penceramah motivasi dan ahli pasukan Bola Sepak Paralimpik Amerika Syarikat (AS) memuat naik sebuah video di laman YouTube berhubung pengalaman buruk yang dialaminya.
"Bagi orang kurang upaya, tanpa tongkat bermakna saya menjadi kaku. Saya tidak boleh bergerak. Saya tidak boleh berjalan.
"Agak melucukan kerana saya seorang penceramah motivasi, penekanan dalam ucapan saya adalah, 'Saya ada satu kaki’, ‘Saya sudah biasa dengan anggota badan saya’, ‘Saya sudah menerimanya'.
"Tetapi 12 jam kemudian di kelab itu, saya mendapati bahawa keperitan dan penghinaan itu masih wujud,” kata penceramah berusia 31 tahun di dalam videonya.
Video yang dimuat naik pada 12 April itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang melahirkan rasa simpati kepada penceramah tersebut.
#Josh Sundquist #Kini Trending #OKU #Orang Kurang Upaya #Zouk KL