Skip to main content

Malaysia

Zulkifli kecam provokasi Ben-Gvir, peneroka haram Israel ceroboh Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Amanat dan Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Wilayah-Wilayah Persekutuan di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam hari ini._BERNAMA
Zulkifli berkata kezaliman yang dilakukan rejim Zionis itu memperlihatkan sikap mereka yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta hak kebebasan beragama. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi diketuai Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir bersama ribuan peneroka haram yang menceroboh pekarangan Kompleks Masjid Al-Aqsa.

Menterinya Dr Zulkifli Hasan menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencabulan terhadap kesucian kiblat pertama umat Islam itu dan status quo tapak suci berkenaan serta dianggap sengaja dilakukan untuk membakar sentimen serta mencetuskan provokasi keagamaan.

“Pencerobohan keji ini bukan sahaja satu pencabulan terang-terangan terhadap kesucian kiblat pertama umat Islam dan status quo tapak suci tersebut, malah merupakan satu tindakan sengaja yang biadab bagi membakar sentimen serta mencetuskan provokasi keagamaan secara melampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kezaliman yang dilakukan rejim Zionis itu memperlihatkan sikap mereka yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta hak kebebasan beragama.

Katanya, Masjid Al-Aqsa adalah hak umat Islam yang wajib dipertahankan dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menuntut badan antarabangsa serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak pantas dan tegas bagi menghentikan tindakan berterusan itu.

Zulkifli berkata mewakili solidariti rakyat Malaysia berteraskan semangat Malaysia MADANI, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kekal teguh bersama perjuangan rakyat Palestin.

Beliau turut menyeru umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia supaya terus bersatu, memperkasakan doa serta menyatakan penentangan terhadap sebarang bentuk pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement