KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi masih kekal selagi tiada keputusan dibuat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata, setakat ini Zuraida tidak membuat tindakan rasmi untuk berhenti sebagai anggota Kabinet dan beliau selaku Perdana Menteri juga tidak memecat Ahli Parlimen Ampang itu.

Katanya, keputusan masih terletak di tangannya dan beliau akan memanggil Zuraida untuk mengadakan perbincangan lanjut.

“Keputusan akhir (bergantung) kepada Perdana Menteri. Jadi, oleh kerana masih terlalu awal untuk buat keputusan, kerana belum ada perjumpaan untuk kita bincang dan sebagainya, saya tak komenlah.

"Apa tindakan seterusnya, tunggu saya balik dulu. Saya panggil dia bincang, baru kita buat keputusan,” katanya pada sidang media di Tokyo, susulan lawatan kerja rasminya ke Jepun yang berakhir Sabtu.

Pada Khamis, Zuraida yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan hasrat keluar parti dan menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Peletakan Jawatan | Zuraida masih menteri Kabinet - PM


Katanya, beliau juga membuat keputusan untuk berhenti daripada menjadi ahli Kabinet namun masih tetap menyokong Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

Susulan kenyataan beliau, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti akan menghantar nama baharu kepada Perdana Menteri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zuraida.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, semua pihak berhak memberi pandangan, namun beliau enggan membuat keputusan selagi belum berjumpa dengan Zuraida sendiri.

Tambahnya, Zuraida masih boleh menghadiri mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

“Setakat ini dia masih boleh hadir sebab dia tak letak jawatan sebagai menteri Kabinet dan saya pun tak pecat dia sebagai menteri Kabinet.

"Dia masih ahli Kabinet sehingga Rabu ini, sehingga dia berjumpa saya.

“Dan walaupun berjumpa dengan saya, saya tak tahu saya akan buat keputusan atau tidak. Tunggu saya putuskan, untuk dia berhenti sebagai menteri dan saya akan lantik lain... kalau saya lantik yang lain," katanya.

Ismail Sabri juga meminta semua pihak yang berkenaan terus menjalankan tugas seperti biasa sehingga sebarang keputusan dibuat.

"Semua orang berhak beri pandangan dan saya hormati setiap pandangan diberi, sebagai landasan saya untuk buat keputusan seterusnya, tetapi setakat ini tiada keputusan lagi,” tambahnya.