Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin hari ini memfailkan saman terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos atas dakwaan mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang, Ahad lepas.

Zuraida selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu menerusi Tetuan Daim & Gamany di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguam N. Surendran dengan menamakan Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zuraida mendakwa pada 13 Nov lepas, Jamal telah mengeluarkan perkataan fitnah kepada pihak media dan orang awam yang mengaitkannya terlibat dalam insiden beliau dipukul dan ditumbuk oleh individu daripada pihak plaintif.

BACA: 'Darah diganti darah' - Jamal Yunos

BACA: Zuraida dan pengikut buat laporan polis terhadap Jamal

BACA: 'Jamal seperti binatang buas, kurung dia!' - Zuraida

BACA: Jamal Baju Merah dakwa ditumbuk 'budak Zuraida'

Zuraida mendakwa perkataan fitnah itu telah diterbitkan secara meluas melalui media cetak dan elektronik serta portal berita online termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiakini, Buletin Utama TV3 dan Astro Awani.

Dakwa Zuraida, perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang penjenayah dan telah menghasut orang lain ntuk melakukan kesalahan jenayah hingga menyebabkan kecederaan terhadap defendan.

Zuraida juga mendakwa akibat penerbitan perkataan fitnah itu, reputasinya sebagai anggota Parlimen telah terjejas kerana beliau merupakan seorang tokoh awam yang dikenali ramai.

Zuraida berkata beliau telah menghantar satu surat bertarikh 14 Nov bagi menuntut defendan menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf terhadapnya, namun sehari selepas itu (15 Nov), Jamal telah memberi respons kepada surat tersebut dan sekali lagi memalukan plaintif di khalayak ramai dengan mengeluarkan perkataan yang mengaibkannya.


Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, suatu perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula perkataan fitnah sama, faedah, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. -- Bernama