Zuraida serah kes kematian Adib kepada polis

Rahimah Abdullah
September 27, 2019 03:08 MYT
Zuraida (tengah) menyerahkan kepada polis untuk meneruskan siasatan melibatkan kematian Muhammad Adib (gambar) selepas mahkamah memutuskan keputusan inkues sebagai jenayah. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyerahkan kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan kes melibatkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim selepas Mahkamah Koroner memutuskan keputusan inkues sebagai jenayah.
BACA: Kematian Adib disebabkan jenayah lebih seorang individu tidak dikenali - Hakim Koroner
Kementeriannya dan pihak bomba menerima keputusan yang dibuat selepas 40 hari prosiding inkues dijalankan.
“Bagi saya, pihak KPKT dan bomba bersyukur kerana kes Adib pada hari ini telah dibuat keputusan.
"Saya juga amat berpuas hati kami telah menggunakan semua saluran termasuk meminta agar inkues untuk (Muhammad) Adib diadakan. Selama 40 hari inkues dijalankan dan hari ini keputusan.
“Jadi saya amat berharap kes ini dibuat keputusan koroner adalah satu kes tindakan jenayah. Jadi kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada media di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Jumaat.
Zuraida juga melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memastikan proses inkues berjalan lancar.
Pada masa sama, beliau berharap nasib Muhammad Adib dan keluarga terus terbela.
“Terima kasih dan semoga keluarga (Muhammad) Adib terasa terbela untuk dapat keputusan yang sebaik mungkin. Alhamdulillah dan saya ucapkan terima kasih,” ujarnya.
#inkues kes kematian #mahkamah koroner #Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan #Muhammad Adib Mohd Kassim #Zuraida Kamaruddin