Jenazah pembantu juruterbang pesawat MH17, Allahyarham Muhammad Firdaus Abdul Rahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Merbuk, Teluk Intan tengah hari tadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah hadir untuk menyambut ketibaan jenazah Allahyarham di tanah perkuburan itu.

Talkin telah dibacakan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Hilir Perak, Mustaffa Jaafar sebaik sahaja jenazah selamat disemadikan kira-kira jam 11.45 pagi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di Masjid Al-Naim yang diketuai oleh Imam masjid berkenaan, Abdul Rahman Abdul Razak.

Sebaik selesai bacaan talkin, Menteri Besar dan isteri telah menyiram air mawar diikuti ibu Allahyarham, Puan Fatimah Ibrahim.

Pada majlis itu juga, Dr Zambry turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada kepada keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus.