ELECTIONS

Agihan kerusi belum selesai, PR runding lagi Jumaat

Haider Yutim 04/04/2013 | 12:33 MYT
Pakatan Rakyat (PR) akan menyambung rundingan menentukan pengagihan kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 melibatkan PKR, Pas dan DAP pada Jumaat selepas mesyuarat hari ini dipercayai tidak mencapai rumusan penuh.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, mesyuarat tersebut masih belum selesai dan akan diselesaikan esok.

“Esok kita akan selesaikan... ada mesyuarat lagi (Jumaat),” katanya semasa ditemui ketika hendak meninggalkan ibu pejabat PKR.

Sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang pada awalnya dijadualkan petang ini turut dibatalkan.

Mesyuarat tersebut adalah bagi membincangkan agihan kerusi yang bakal ditandingi termasuk menyelesaikan masalah pertindihan kerusi.

Dalam pada itu, Anwar yang dijangka akan bertanding di Perak, masih belum memutuskan tentang kerusi yang hendak ditandinginya.

Katanya, masih terdapat isu yang perlu diberi perhatian dan akan dibincangkan di Permatang Pauh apabila beliau pulang ke sana, pada Jumaat.

Anwar juga enggan memberitahu apakah beliau sedang mempertimbangkan hendak bertanding di kerusi Ipoh Timur selepas penyandangnya, Lim Kit Siang berpindah ke Gelang Patah di Johor.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang ditemui kemudian mengesahkan bahawa masih ada "sedikit" perkara yang belum selesai.

"Ada sedikit lagi hendak selesai, dan esok petang (Jumaat) kita mesyuarat lagi di sini," katanya.

Pas pada Selasa mengumumkan bertanding 76 kerusi Parlimen iaitu pertambahan 10 kerusi daripada yang ditandinginya dalam pilihan raya umum 2008. Antara kerusi yang diambil alih oleh Pas itu termasuk yang sebelum ini ditandingi oleh PKR seperti Temerloh.


#Anwar Ibrahim #DAP #PAS #PKR #PRU-13 #PRU13