Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) meminta semua parti politik yang bertanding di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan agar tidak memasang bahan kempen berhampiran atau pada pepasangan dan tiang elektrik.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ahmad Fuad Md Kasim berkata langkah itu bagi mengelak gangguan bekalan elektrik.

"Bahan-bahan kempen ini didapati kerap kali menyentuh talian elektrik apabila ditiup angin kencang dan seterusnya mengakibatkan gangguan elektrik di kawasan sekitar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya perbuatan menampal poster, menggantung sepanduk serta bendera itu juga boleh menyebabkan kerosakan pada pepasangan elektrik selain mengakibatkan kebocoran arus elektrik terutama ketika hujan.

Keadaan itu katanya boleh mendedahkan orang awam yang melalui kawasan berhampiran kepada renjatan elektrik.

Sehubungan itu, beliau berkata SESB akan menanggalkan dan menurunkan bahan kempen yang dipasang terlalu hampir atau pada pepasangan dan tiang elektrik milik syarikat demi memastikan keselamatan orang awam.

Beliau turut meminta pengguna yang mengalami gangguan bekalan elektrik menghbungi talian Hotline SESB 15454 atau 088-515000.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat menerusi khidmat pesanan ringkas dengan menaip SESBaduan dan hantar kepada 33154.