Penduduk di flat Sri Pahang dan Bukit Bangsar bakal menikmati perumahan baru sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Begitulah janji dibuat Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk di Jalan Bukit Bangsar malam tadi.

Katanya, perancangan itu secara telah pun dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas Raja Nong Chik, dalam perancangan itu, penduduk tidak perlu berpindah semasa kawasan dibangunkan kerana ia dijalankan secara berperingkat.

Beliau juga akan memastikan perumahan itu dimajukan kepada sekurang-kurangnya 800 kaki persegi berbanding dengan sekarang yang hanya kira-kira 400 kaki persegi.

Sementara itu, Nong Chik juga mahu meneruskan usaha menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar jika diberi peluang sekali lagi.

Menurut beliau, ini kerana masih terdapat perjuangan yang masih belum selesai di kawasan Lembah Pantai dan juga Kuala Lumpur.

“Oleh kerana perjuangan yang belum selesai, di bawah 7P pun belum selesai, jadi saya rasa kalau boleh saya nak meneruskan usaha saya di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar," kata Nong Chik.

Bagaimana beliau berkata, jika ditakdirkan dipindahkan ke kementerian lain, tanggungjawab tersebut tidak akan diabaikan.

Dalam pada itu, Nong Chik juga mendakwa penyandang kerusi Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hanya menggunakan kawasan itu sebagai ‘batu loncatan’.

Jelas beliau, Nurul bukanlah penduduk asal kawasan tersebut dan tidak tahu citarasa penduduk di Lembah Pantai serta tidak berhak mewakili kawasan itu.

KLIK VIDEO UNTUK DENGAR KENYATAAN RAJA NONG CHIK