Pihak polis menyeru rakyat Sabah terutamanya mereka yang tinggal di Lahad Datu, untuk mengenepikan perasaan takut mereka dan keluar membuang undi semasa pilihan raya.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata rakyat perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengundi.

“Semasa hari mengundi, jangan takut. Terus keluar mengundi. Kalau ada sebarang maklumat tentang pengganas, lapor segera kepada polis.

“Kami ada untuk menghalang mereka daripada melakukan apa-apa kegiatan yang tidak mengikut undang-undang,” kata beliau semasa satu sidang media di Felda Sahabat hari ini.

Tan berkata walaupun pilihan raya akan berlangsung tidak lama lagi, keselamatan Sabah tidak akan dikompromi.

“Kami akan meletakkan anggota pasukan keselamatan yang mencukupi di Sabah dan meneruskan operasi di sana,” katanya lagi.

Sementara itu, Tan berkata operasi di Sungai Merah, Lok Sembuang and Lok Buani telah selesai dijalankan.

“Orang ramai yang tinggal di kawasan itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Seramai 1,299 orang sudah balik ke rumah mereka dari pusat pemindahan. Tiga pusat pemindahan telah ditutup berikutan itu.

“Namun, seramai 106 orang daripada 17 keluarga masih tinggal di satu pusat pemindahan kerana rumah mereka telah terbakar dan tidak sesuai didiami,” kata beliau.