"Politik seharusnya merupakan satu komitmen jangka panjang. Ianya mengenai apa yang anda dah lakukan lima tahun lepas, bukan dua minggu lepas."

Itu merupakan sentimen yang dilontarkan oleh calon Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang dikenali sebagai RNC. Beliau bakal berhadapan dengan Nurul Izzah Anwar bagi merebut kerusi Lembah Pantai untuk pilihan raya umum akan datang ini.

"Saya percaya sebagai ahli politik, kita harus fokus kepada isu pokok bukan yang bertunjangkan emosi.

"Saya lebih berminat untuk meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di Lembah Pantai kerana rata-rata penduduk di sini adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah," kata RNC.

Dengan peningkatan taraf hidup, RNC berkata kehidupan penduduk akan lebih baik.

"Saya suka melihat komunikasi secara langsung di antara rakyat dan kerajaan. Dengan kaedah ini kerajaan akan peka kepada keperluan rakyat dan bagaimana memberikan mereka kehidupan yang lebih baik," tambah beliau.

Membesar di Bangsar dan di sinilah tempat beliau bertemu dengan pasangan hidupnya Datin Nafesah. Mereka berdua dikurniakan dua cahaya mata Raja Hamzah dan Raja Farhana.

"Saya membesar di sini. Saya telah berkhidmat di Lembah Pantai sebelum menjadi menteri lagi. Saya mula dari bawah sejak 25 tahun lalu dan saya buktikan ketelusan sebagai menteri sejak empat tahun lalu," jelas beliau.

Beliau memulakan kerjaya di FELCRA dan FAMA sebelum memulakan bidang keusahawanan. Sebagai usahawan, RNC berjaya mengembangkan perniagaannya dalam bidang logistik, pengeluaran, kejuruteraan dan beberapa sektor lain.

RNC menjadi senator Dewan Negara pada April 2009 dan dilantik menjadi Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar selepas itu.

Terdapat kira-kira 72,396 pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-13 ini di Lembah Pantai dengan 52% berbangsa Melayu, diikuti dengan bangsa Cina 26% dan India 21%.

Ahli Parlimen bagi Lembah Pantai kini adalah Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat yang telah memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum pada 2008 daripada penyandangnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mewakili Barisan Nasional. Shahrizat telah memegang kerusi tersebut sejak 1995.


rnc, raja nong chik