Pengundi seharusnya tidak mendesak petugas pilihan raya untuk memberikan kertas undi secara rawak kepada mereka kerana tindakan itu dilihat boleh menimbulkan kekecohan semasa hari mengundi 5 Mei nanti.

Itu nasihat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengatakan isu kerahsiaan undi tidak timbul sejak perubahan dibuat SPR pada 2004.

“Kami tidak akan melayan permintaan pengundi jika mereka mahukan kertas undi secara rawak. Kami ingin memberitahu orang ramai supaya mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

"Sebelum ini, memang terdapat kaitan nombor kertas undi dengan daftar pemilih, tetapi sejak Pilihan Raya Umum ke-11 sampai sekarang, tiada lagi,” pegawai SPR memberitahu Astro Awani.

Nombor siri yang tercetak pada kertas undi ketika ini, menurut pegawai itu, adalah semata-mata untuk tujuan pengiraan undi.


spr

Isu kertas undi rawak itu dibangkitkan baru-baru ini oleh bekas Presiden Transparency International-Malaysia (TIM) Tunku Abdul Aziz Ibrahim, bekas pemimpin DAP, yang mendakwa ada pihak akan cuba 'menimbulkan huru-hara pada hari pengundian’.

Tunku Abdul Aziz merujuk kepada satu kempen yang dianjurkan oleh sebuah kumpulan pemerhati pilihan raya, Tindak Malaysia, yang sebelum ini dalam bengkel pilihan raya anjuran mereka telah menggesa pengundi agar meminta kertas undi secara rawak. Tindakan itu dilihat oleh Tunku Abdul Aziz sebagai cubaan melengah-lengahkan proses pengundian.

Walau bagaimanapun, Tindak Malaysia dalam reaksi mereka berkata kumpulan itu telahpun berhenti menasihatkan pengundi untuk tidak meminta kertas undi secara rawak.

“Ini merupakan cadangan yang kami buat pada penghujung 2011 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya. Kami merasakan ini adalah penting untuk memberi keyakinan kepada pengundi bahawa kerahsiaan undi mereka dikekalkan," kata pengasas Tindak Malaysia, PY Wong.

“Walau bagaimanapun, kami telah berhenti menasihatkan orang ramai untuk menuntut kertas undi secara rambang memandangkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menimbulkan kebimbangan bahawa tindakan boleh mengganggu proses pengundian.

Sementara itu, kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata pendirian kumpulan itu amat jelas dimana pengundi tidak seharusnya menuntut kertas undi secara rawak.

Ahli jawatankuasa pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, menuntut untuk kertas undi rawak boleh menggangu proses pilihan raya selain menafikan hak orang lain serta menimbulkan komplikasi lain.

“Kami tidak merasakan perlunya kertas undi diberi secara rawak memandangkan SPR telah pun menyelesaikan isu ini. Tiada angka atau nombor siri yang mengaikan kertas undi dengan senarai nama pengundi, undi sememangnya rahsia.

“Jangan meminta undian secara rawak kerana ia akan melambatkan keseluruhan proses. Anda hanya perlu keluar dan mengundi,” kata Maria.

Sementara itu, sebuah lagi pemerhati pilihan raya yang diiktiraf PEMANTAU berkata kumpulan itu pada masa ini tidak menetapkan apa-apa pendirian mengenai isu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), yang merupakan salah sebuah NGO yang menganggotai Pemantau, Wan Saiful Wan Jan berkata, tugasan penting buat pemerhati ketika ini adalah untuk "memerhati dan mencatatkan sekiranya tindakan menuntut kertas undi rawak berlaku sepanjang pilihan raya itu nanti"