Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi beralah dan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi sebagai calon bebas selepas namanya tidak disenaraikan sebagai calon oleh Barisan Nasional Perak.

Jamaluddin berkata, beliau tidak mahu menyebabkan berlaku pertembungan tiga penjuru yang mungkin boleh menyebabkan BN kalah.

"Secara abang dan adiklah (saya) bercakap, saya tak mahu kerana saya Melayu hancur, (lebih baik) saya beralah."

"Kalau saya lawan (BN) ini bermaksud seolah-olah saya mengkhianati parti itu," katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Menteri Besar Perak dalam kerajaan sementara, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam mengumumkan Datuk Rusnah Kassim sebagai calon BN di DUN Behrang.

Jamaluddin sebelum ini membuat kenyataan tetap akan bertanding sebagai calon bebas sekiranya tidak dicalonkan oleh BN, dan beliau telah mengambil borang pencalonan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya minggu lalu.

Namun Jamaluddin menjelaskan kenyataannya ketika itu dibuat semasa beliau dalam keadaan marah.

Jelasnya, meskipun sedikit kecewa namun beliau akan terus berjuang memastikan kemenangan BN di Perak.

Jamaluddin pernah bertanding dua kali di kerusi DUN Behrang yang terletak dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim dalam pilihan raya umum sebelum ini sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pilihan raya 2004, beliau tewas kepada calon Barisan Nasional daripada MIC, R Apalanaidu dengan majoriti 3,748 undi.

Pada tahun 2008, Jamaluddin menang dengan majoriti 1,027 undi mengalahkan Datuk M.Ramasamy yang merupakan calon MIC.

Bagaimanapun, kira-kira 11 bulan selepas itu, Jamaluddin bersama ADUN Changkat Jering, Osman Mohd Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Fong mengisytiharkan diri sebagai ADUN Bebas yang menyokong BN.

Tindakan mereka menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan di Perak yang berlarutan sehingga turun naik mahkamah. Kemuncaknya, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan sebulat suara pada 10 Mei 2010 memutuskan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar kerajaan BN yang sah.

Jamaluddin sebelum ini pernah juga didakwa di mahkamah berhubung skandal rasuah yang melibatkan projek pembangunan tanah bernilai RM180juta di Seri Iskandar, Ipoh, hampir lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Februari lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan beliau bersama dua yang lain.

Behrang mempunyai hampir 23,000 pengundi dengan 51 peratus pengundi Melayu, Cina 21 peratus dan India 12 peratus.