23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
POLITIK

‘20 tahun bersama UMNO, mengapa saya dituduh sering lompat parti?’ – Tengku Zafrul

Agensi 05/10/2025 | 09:02 MYT
Tengku Zafrul berkata keputusan tinggalkan UMNO berpunca daripada kegagalan UMNO Selangor menerima cadangan pembaharuan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menolak dakwaan bahawa beliau sering bertukar parti, menegaskan rekod politiknya tidak wajar disamakan dengan tokoh lain yang kerap berpindah parti.


Ringkasan AI
  • Tengku Zafrul nafikan dakwaan sering lompat parti, menegaskan beliau bersama UMNO selama 20 tahun sebelum menyertai PKR pada Ogos lalu.
  • Keputusan tinggalkan UMNO berpunca daripada kegagalan UMNO Selangor menerima cadangan pembaharuan, walaupun beliau akui usaha parti kini mula menunjukkan hasil.
  • Tiada perjanjian dengan PM mengenai jawatan atau kerusi Parlimen, dan Zafrul komited menyokong Kerajaan Perpaduan melalui pelbagai platform tanpa bertanding PRK.


Dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia pada Ahad, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa beliau telah bersama UMNO sejak 1998, dan kekal selama dua dekad sebelum membuat keputusan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini.

“Ada yang kata saya seperti ‘melompat parti’. Tetapi hakikatnya, saya bersama UMNO selama 20 tahun. Selepas itu barulah saya memilih haluan baharu. Jadi, saya tidak pernah lompat-lompat seperti yang didakwa,” katanya lagi.

Pada Ogos lalu, Tengku Zafrul mengumumkan keahliannya dalam PKR selepas permohonan beliau diterima. Beliau kini merupakan ahli Cabang Keadilan Ampang.

Penyertaan itu dibuat tiga bulan selepas beliau melepaskan semua jawatan dalam UMNO dan Barisan Nasional, termasuk Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan Bendahari UMNO serta BN Selangor.

Punca Tinggalkan UMNO

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Tengku Zafrul berkata ia antara lain berpunca daripada pandangannya bahawa UMNO Selangor enggan berubah dan tidak menerima cadangan pembaharuan.

“Saya tiada masalah dengan UMNO Pusat. Tetapi UMNO Selangor perlu berubah kerana kita kosong kerusi Parlimen. Kalau mahu menang, cara berfikir juga mesti berubah. Saya cuba membawa perubahan, tetapi tidak diterima sepenuhnya,” jelasnya.

Tengku Zafrul bagaimanapun turut mengakui pendekatan kepimpinan UMNO Selangor mungkin ada kebenarannya kerana pada pandangan beliau, usaha mereka kini mula menunjukkan hasil.

Tiada Perjanjian Dengan PM

Menjawab spekulasi bahawa beliau menyertai PKR demi menjamin kedudukan dalam kerajaan, Tengku Zafrul menegaskan tiada sebarang perjanjian dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk mengenai kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Ada orang kata saya masuk PKR supaya dapat bertanding PRK untuk kekal sebagai menteri. Itu tidak benar. Saya sendiri tetapkan syarat, kalau saya masuk, saya tidak mahu bertanding. Saya tidak percaya PRK akan membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Komitmen Kepada Kerajaan Perpaduan

Tengku Zafrul menegaskan beliau kekal berpegang kepada prinsip mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan akan terus menyumbang melalui pelbagai platform.

“Politik bukan hanya tentang berada di Parlimen. Melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perniagaan atau apa juga saluran, kita masih boleh memberi sumbangan. Yang penting, kita terus membantu parti dan Kerajaan.

“Saya akan lakukan selagi tidak bertentangan dengan prinsip. Sama macam anda, jika tidak bersetuju dengan lembaga pengarah, adakah akan terus bekerja di sana? Politik pun sama. Ia bukan soal agama yang tidak boleh diteruskan jika menentang prinsip. Kehidupan bukan macam itu,” katanya lagi.



#Tengku Zafrul #lompat parti #PKR Ampang #Anwar Ibrahim