ALOR SETAR: Seramai 206 ahli Parti Amanah Negara (Amanah) terdiri daripada pimpinan serta aktivis yang aktif di negeri Kedah, mengambil keputusan meninggalkan parti itu sejak 29 November lalu.

Langkah itu antaranya turut disertai oleh Speaker Amanah Kedah, Kassim Mat Isa; Timbalan Speaker, Jamil Che Dan; Ketua Pemuda Negeri, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepimpinan Pemuda Amanah negeri.

Bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, langkah itu diambil setelah parti tersebut dilihat tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat dihantar 12 Ketua Kawasan Amanah di negeri itu kepada kepimpinan parti di peringkat Pusat pada awal November lalu yang meminta supaya beliau kembali diterima sebagai ahli dan dikembalikan jawatan Pengerusi Amanah Negeri.

Jelasnya, sebelum ini beliau pernah menyatakan bahawa tindakan memecat beliau dari parti akan memberi kesan kerana kemasukan mereka ke dalam Amanah untuk menubuhkan parti ini satu ketika dulu adalah secara kabilah atau 'en bloc' melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa).

Pengumuman keluar beramai-ramai itu diadakan di rumah Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipecat daripada parti itu pada 30 Oktober lalu.

Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkata, dijangkakan selepas ini ada lagi ahli kawasan yang akan berhenti, namun, hasrat itu ditangguhkan dahulu sementara hari pengundian Parlimen Padang Serai pada 7 Disember ini.

Pada 30 Oktober lalu, Amanah memecat Phahrolrazi daripada parti tersebut kerana didakwa melanggar Perlembagaan, mengingkari keputusan dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti berikutan tindakannya membantah keputusan kepimpinan Amanah Pusat memberi laluan kepada DAP bertanding di Jerai.

Menyifatkan dirinya sebagai 'kambing hitam', Phahrolrazi turut mempersoalkan mengapa hanya beliau seorang yang dipecat sedangkan keputusan untuk membantah pemberian kerusi Parlimen Jerai itu kepada DAP merupakan keputusan mesyuarat perhubungan Amanah negeri.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi berkata, selepas ini jejak langkah mereka itu dijangka akan dituruti ribuan ahli Amanah di negeri lain terutamanya di negeri-negeri yang memiliki ramai keahlian PasMa sebelum ini seperti di Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

“Selepas daripada ini saya akan berunding dengan beberapa parti tengok dulu dia punya keadaan dan sebab kita masuk secara ‘en block’ bila masuk secara ‘en block’, dia tidak boleh masuk macam individu perseorangan mestilah ada satu perundingan dibuat bagaimana memposisikan kumpulan kita.

“Ini kerana supaya parti yang menerima kita tujuannya untuk memperkuatkan (parti), kalau masuk dengan keadaan menjadi ahli biasa saya fikir tidak ada apa apa makna sebab mereka yang ada ini pimpinan mereka… jadi perlu ada satu perundingan untuk mereka ini dapat membantu untuk memperkukuhkan parti itu terutamanya Pakatan Harapan (PH) dan yang penting untuk menghadapi pilihan raya negeri tak lama lagi,” ujar beliau lagi.

Jelas Pharolrazi, perkara ini perlu diselesaikan segera bagi memperkukuhkan PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) setelah keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 cukup mengecewakan.