POLITICS

237 pencalonan diterima untuk Pemilihan PKR Pusat - Dr Zaliha

Bernama 09/05/2025 | 09:20 MYT
Dr Zaliha berkata proses pencalonan bagi pemilihan pucuk kepimpinan parti itu berjalan lancar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 237 pencalonan telah diterima untuk pertandingan pelbagai jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR setakat tengah hari tadi.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 237 pencalonan telah diterima untuk pelbagai jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, dengan proses pencalonan berakhir pada 11.59 malam ini.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan jawatan Presiden, sementara perebutan jawatan Timbalan Presiden (dijangka) antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli menjadi tumpuan.
  • Proses bantahan dan rayuan akan berlangsung dari 11 hingga 14 Mei, dengan pengundian dijadualkan pada 23 Mei dan Kongres Nasional PKR berlangsung dari 21 hingga 24 Mei di Johor Bahru. Adakah ini membantu?


Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata proses pencalonan bagi pemilihan pucuk kepimpinan parti itu berjalan lancar.

"JPP masih lagi menerima permohonan daripada anggota yang berhasrat untuk bertanding jawatan-jawatan peringkat pusat termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Proses pencalonan yang bermula tengah hari semalam akan berakhir 11.59 malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Presiden dan telah menghantar pencalonannya petang ini.

Namun tumpuan kini terarah kepada perebutan jawatan timbalan presiden apabila Naib Presiden Nurul Izzah Anwar dijangka mencabar penyandang Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli untuk posisi nombor dua parti.

Setakat ini, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) manakala Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fadhlina Sidek juga merupakan calon tunggal untuk mempertahankan jawatannya, kata sumber berkenaan.

Proses bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei ini, diikuti rayuan bantahan (13-14 Mei), tarikh akhir penarikan diri (14 Mei), senarai muktamad calon (15 Mei), tempoh kempen (15-22 Mei) dan pengundian pada 23 Mei.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.

-- BERNAMA


#pemilihan PKR #dr zaliha #Nurul Izzah #Rafizi Ramli