KUANTAN: Setelah 36 tahun menabur bakti kepada rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob mengumumkan persaraannya, hari ini.

Adnan berkata,  kepercayaan memimpin rakyat yang diberikan selama lapan penggal telah melayakkan beliau mentadbir negeri apabila diberi mandat sebagai Menteri Besar Pahang selama 19 tahun.

"Kita semua sedia maklum, Dewan Undangan  Negeri (DUN) Pahang akan dibubarkan dalam sedikit masa lagi.

"Jadi saya menganggap ini ucapan terakhir dalam dewan sebelum saya bersara sepenuhnya setelah berkhidmat sebagai ADUN selama 36 tahun, dua bulan dan tujuh hari," katanya.

Beliau berucap demikian pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pada Selasa.

Adnan turut  menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang pernah bersama dengannya dalam mentadbir Pahang selama beliau mencurahkan khidmat dan bakti.

Beliau juga mengucap syukur kerana Pahang kini berada di bawah pentadbiran kerajaan yang baik pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri  Wan Rosdy Wan Ismail dalam meneruskan legasi untuk membantu rakyat.

“Saya ingin menyatakan bahawa Negeri Pahang bernasib baik mendapat hamba Allah bernama  Wan Rosdy, anak (kelahiran) Lipis yang menjadi Menteri Besar.

"Nyata sekali selain pengalaman dan kelayakan, Menteri Besar (Wan Rosdy) ini  mempunyai 'temperament' (perangai) yang baik maknanya tidak beremosi, tidak marah, tidak mudah excited (teruja) macam sesetengah orang,” katanya.

Beliau berharap agar  Wan Rosdy dapat meneruskan perkhidmatan cemerlang selain dapat menambah baik serta melakukan pembangunan baharu dibantu oleh kepimpinan negeri.

“Saya percaya, Wan Rosdy akan dapat mengemudi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya ini dan Insya-Allah dapat membentuk Kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya.