KUALA LUMPUR: Selepas empat hari digerakkan, petisyen Pengampunan Diraja Kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat masih belum dapat mencapai angka 10,000 tandatangan.

Berdasarkan pemantauan di portal Change.org setakat jam 11.30 malam tadi, kira-kira 8,200 tandatangan diperoleh dengan purata kira-kira 2,000 tandatangan sehari. 

Petisyen terbabit antara lain meminta Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, agar memberikan Pengampunan Diraja serta-merta terhadap Najib.

Ia turut meminta agar Yang di-Pertuan Agong menitah Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengarah Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM untuk menghadap baginda berhubung bukti kes melibatkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Angka tersebut jauh berbeza dengan satu lagi petisyen dilancarkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang turut digerakkan pada empat hari lepas.

Petisyen itu bagi meminta Yang di-Pertuan Agong tidak menggunakan kuasa pengampunan terhadap Najib.

Berdasarkan pemantauan di laman web sama, petisyen itu berjaya mengumpul lebih 110,000 tandatangan selepas empat hari digerakkan.

Meskipun jumlahnya agak perlahan sejak dua hari kebelakangan ini - semalam mencatatkan lebih 101,000 tandatangan - namun jumlahnya boleh dikatakan lebih 10 kali ganda daripada satu lagi petisyen.

Selain dua petisyen tersebut, satu lagi petisyen bertajuk Solidariti Pengampunan Diraja Untuk Najib Razak digerakkan pada dua hari lepas.

Walaupun baru dua hari, jumlah tandatangan dilihat mengatasi petisyen pengampunan buat Najib dengan mencatatkan lebih 9,300 tandatangan setakat jam 11.30 malam tadi.

Selasa lepas, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Mohd Nazlan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, susulan keengganan pihak pembelaan untuk memfailkan sebarang hujahan, panel tiada pilihan lain selain memberi fokus kepada 94 alasan rayuan yang difailkan melalui petisyen sebelum ini.