POLITIK

40 peratus hasil Sabah tidak harus jadi perpecahan di Sabah - PKR Sabah

Sinar Harian 10/11/2025 | 22:40 MYT
Mustapha Sakmud. - Gambar fail/Facebook Amirudin Shari
KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berpendirian bahawa perjuangan untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah tidak harus menjadi punca perpecahan politik di negeri ini.


Ringkasan AI
  • PKR Sabah menegaskan perjuangan untuk mendapatkan hak 40 peratus hasil Sabah tidak sepatutnya menyebabkan perpecahan politik di negeri tersebut.
  • Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, menyeru agar semua parti, termasuk UPKO, memprioritikan kepentingan rakyat Sabah dan meneruskan kerjasama dalam semangat perpaduan dan reformasi nasional.
  • Meskipun UPKO telah keluar daripada PH, PKR Sabah menghormati sumbangan dan kerjasama yang telah dijalin selama ini dalam memperjuangkan agenda reformasi serta pembangunan inklusif di Sabah.


Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya menghormati keputusan rasmi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk berundur daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) seperti yang diumumkan melalui kenyataan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang.

"PKR Sabah berpendirian bahawa perjuangan untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah, pengukuhan autonomi serta pembangunan sosioekonomi Sabah yang adil tidak harus menjadi punca perpecahan, tetapi sebaliknya menjadi asas penyatuan dalam semangat federalisme yang matang dan saling menghormati.

"Oleh itu, PKR Sabah menyeru agar semua parti, termasuk UPKO, terus meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan, serta meneruskan kerjasama dalam ruang kebersamaan yang lebih luas di bawah semangat perpaduan dan reformasi nasional," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Sepanggar itu bagaimanapun berkata, sepanjang penyertaan UPKO dalam PH sejak tahun 2019, kerjasama erat telah dijalinkan antara pimpinan, jentera serta wakil rakyat di pelbagai peringkat, khususnya dalam memperjuangkan agenda reformasi, tadbir urus baik, dan pembangunan inklusif di Sabah.

"Atas dasar itu, PKR Sabah menzahirkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, serta seluruh kepimpinan dan ahli UPKO atas sumbangan, komitmen dan kebersamaan mereka dalam tempoh tersebut," katanya.

UPKO sebelum itu mengumumkan untuk keluar daripada PH berkuatkuasa serta merta selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi UPKO diadakan pada petang Isnin. - Sinar Harian




#40 peratus hasil Sabah #PRN Sabah #PKR #Mustapha Sakmud