Sebanyak 70 peratus daripada 31 inisiatif yang dijanjikan dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu dalam tempoh 100 hari berjaya ditunaikan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, antaranya termasuk penawaran bas percuma, tempat letak kenderaan awam percuma, penjimatan dan juga tanah kediaman milik orang Melayu yang berstatus pajakan dibenar untuk ditukar kepada Tanah Adat Melaka (MCL) dengan bayaran nominal RM1,000.

Beliau berkata, tempoh 100 hari tidak boleh dijadikan tali pengukur kepada prestasi kerajaan PH, tetapi ia adalah satu permulaan baru kepada masa depan negara ke arah kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, masih banyak usaha yang perlu dijalankan kerajaan negeri bagi memenuhi manifesto yang dijanjikan kepada rakyat di negeri ini lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan masalah lapuk yang gagal diselesaikan kerajaan terdahulu.

Jelasnya, fokus kerajaan negeri selepas ini adalah kepada kesejahteraan rakyat termasuklah peluang-peluang pekerjaan, pendapatan rakyat dan sebagainya yang terdapat dalam manifesto yang digariskan.

“Jadi rakyat boleh membuat penilaian sebenarnya, isunya bukan lagi janji dalam manifesto itu.

“Kalau tiga bulan kita boleh buat 31 inisiatif dalam manifesto, 85 inisiatif takkan tak boleh tunaikan dalam tempoh setahun?

“Jadi, saya rasa sebenarnya kerajaan PH memang mempunyai keupayaan melaksanakan jauh lebih daripada yang kita nyatakan itu. Sebenarnya isu kita sekarang ni bagaimana kita mahu mensejahterakan rakyat, itu isu paling utama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di bawah Pentadbiran Pakatan Harapan di Seri Negeri hari ini.

Adly berkata, terdapat juga inisiatif yang tidak diletakkan dalam manifesto yang turut dilaksanakan bagi memberi nilai tambah kepada pentadbiran kerajaan yang akhirnya memberi impak postif kepada rakyat Melaka seluruhnya.