POLITICS
79 Tahun UMNO: Terus teguh berjuang demi bangsa dan negara - Tok Mat
Mohamad menegaskan bahawa UMNO tetap relevan dalam membentuk masa depan Malaysia, ibarat pohon rendang yang terus memberi teduhan. - Foto Facebook/Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) hari ini memperingati ulang tahun ke-79 penubuhannya, satu detik bersejarah yang mencerminkan hampir lapan dekad perjuangan parti itu dalam membela agama, bangsa dan tanah air.
Sempena sambutan tersebut, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli parti yang kekal setia dan teguh bersama UMNO, walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang sejarah perjuangan.
“UMNO bukan sekadar nama, tetapi lambang sebuah perjuangan. Dari getar lidah Datuk Onn Jaafar ke gema suara Tunku Abdul Rahman, dari jerit merdeka ke dewan Parlimen, parti ini menjadi nadi kemerdekaan, arkitek Perlembagaan dan teraju utama dalam membina Malaysia moden,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil kebangkitan bangsa Melayu menentang gagasan Malayan Union yang dianggap sebagai bentuk penjajahan baharu.
Penubuhan parti keramat itu tercetus di Istana Besar Johor Bahru apabila tokoh-tokoh Melayu dari seluruh negara bersatu demi maruah bangsa dan masa depan tanah air.
Menurut Mohamad, sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, UMNO terus memacu pembangunan negara dalam era dunia yang penuh perubahan dan cabaran geopolitik, termasuk kemunculan kuasa besar baharu dan peralihan dunia kepada era Zaman Nuklear.
“UMNO membimbing langkah pertama Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia. Negara kita mula berjalan, dan akhirnya mula berlari mengejar pembangunan,” katanya.
Mengakui kelemahan dan kekhilafan yang pernah berlaku, Mohamad menegaskan bahawa UMNO tetap relevan dalam membentuk masa depan Malaysia, ibarat pohon rendang yang terus memberi teduhan.
Beliau turut menyeru seluruh ahli UMNO agar memperbaharui tekad, memperkukuh perpaduan dan mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan parti demi memastikan kesinambungan perjuangan untuk generasi akan datang.
“Marilah kita terus memperkukuh perpaduan dan memperjuangkan masa depan Malaysia yang lebih gemilang. Selamat Ulang Tahun ke-79 UMNO. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.