Ab Rauf Speaker DUN Melaka baharu

Shuhada Abdul Kadir
Mei 11, 2020 04:11 MYT
Keputusan itu sekaligus menyaksikan Speaker DUN sebelum ini, Datuk Omar Jaafar yang dilaporkan enggan melepaskan jawatannya terpaksa akur dengan keputusan majoriti ahli dewan. - Foto Pejabat Ketua Menteri Melaka
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh secara rasmi dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu diputuskan dalam Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 yang dipengerusikan sementara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Ghazale Mohamad sebentar tadi.
Keputusan itu sekaligus menyaksikan Speaker DUN sebelum ini, Datuk Omar Jaafar yang dilaporkan enggan melepaskan jawatannya terpaksa akur dengan keputusan majoriti ahli Dewan.
Pelantikan Ab Rauf dicadangkan oleh ADUN Lendu yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dan disokong oleh ADUN Asahan, Datuk Seri Abd Ghaffar Atan serta mendapat sokongan majoriti 16 daripada 17 ADUN Barisan Nasional (BN).
BACA: Sidang DUN Melaka kecoh, ADUN minta tukar Speaker
Bagaimanapun, pelantikan berkenaan berlangsung tanpa kehadiran mana-mana wakil ADUN pembangkang selepas persidangan itu ditangguhkan pada sebelah pagi rentetan berlaku pertikaman lidah antara ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan pembangkang.
Insiden itu menyebabkan kesemua wakil pembangkang termasuk Omar dan bekas Timbalan Speaker Datuk Wong Fort Pin, terus meninggalkan Dewan sebelum ADUN kerajaan meneruskan persidangan berkenaan kira-kira 45 minit kemudian tanpa kehadiran pembangkang dan juga Idris Haron.
#ADUN #Barisan Nasional #Datuk Seri Ab Rauf Yusoh #DUN #idris haron #Ketua Menteri #Ketua Menteri Melaka #Melaka #Perikatan Nasional #PKP #UMNO