SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari masih belum muncul selepas menjadi ADUN pertama Perikatan Nasional (PN) di Selangor yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Malah bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor itu juga tidak kelihatan dalam sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setakat jam 11 pagi pada Khamis dan ia disahkan seorang ADUN dari blok pembangkang.

Pada Rabu, Abdul Rashid berkata, keputusan tersebut dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah meneliti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menjelaskan, keputusan tersebut juga bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini terutama penduduk di kawasan DUN Selat Klang yang akan menerima manfaat dari kerajaan yang stabil serta padu.

Keputusan yang penuh kejutan itu turut menyaksikan empat nama ADUN dari Perikatan Nasional dikaitkan akan mengikuti jejak Abdul Rashid iaitu ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan, ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani, ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad dan ADUN Dengkil, Jamil Salleh.

Bagaimanapun Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan empat ADUN terbabit akan mengambil keputusan sama dalam satu sidang media di sini pada Rabu.

Sementara itu, ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan beliau dan tiga lagi ADUN terbabit hadir dalam sesi Sidang DUN pada pagi ini dan sekali lagi menafikan terlibat dalam isu berkenaan. - Sinar Harian