KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menganggap dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mempunyai ‘fail’ pemimpin Kerajaan adalah retorik semata-mata.

Menteri Ekonomi itu turut menasihati pembangkang sekiranya mahu melakukan sebarang pendedahan atau skandal ia perlu dilakukan untuk kepentingan awam dan bukan mendapatkan kelebihan politik.

Kata Rafizi, ini kerana orang ramai kini lebih bijak untuk menilai sesuatu perkara sebelum membuat keputusan.

“Saya berada di tempat mereka sebelum ini, apabila saya memutuskan untuk mendedahkan apa-apa skandal kepada umum, ia biasanya dengan niat untuk menjimatkan dana awam dan sebaiknya pembangkang perlu menggunakan dokumen yang tersedia umum.

“Hanya ada satu ketika saya menggunakan dokumen Akta Rahsia Rasmi untuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disebabkan terdesak kerana saya telah berusaha tetapi tidak mendapat maklum balas.

“Justeru, jika pembangkang mahu mendedahkan salah-laku pemimpin Kerajaan mereka perlu mempertimbangkan sama ada mereka sanggup mengambil risiko atau tidak. Itulah sebabnya saya tidak perlu risau kerana saya meragui jika ada mana-mana ahli politik mahu membawa diri mereka ke penjara.

“Saya lakukannya dan saya fikir satu-satunya sebab mempunyai motivasi yang betul untuk ke penjara adalah isu kepentingan awam yang sangat tinggi dan ia berbaloi untuk didedahkan,” katanya ketika ditemui media di ibu negara, pada Selasa.

Baru-baru ini, Hamzah mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu kerap mencari kesalahan pembangkang.

Menurutnya, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau juga boleh mencari kesalahan pemimpin kerajaan kerana mempunyai banyak ‘fail’ pemimpin kerajaan walaupun masih berfikir sama ada mahu menggunakannya atau tidak.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sekiranya pihak pembangkang mahu mendedahkan sebarang salah laku, ia tidak memerlukan dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sebaliknya ia sudah pasti telah didedahkan kepada umum melalui pelbagai platform termasuk media.

“Pada asasnya sekiranya ada skandal besar, saya tidak fikir ia memerlukan dokumen di bawah OSA kerana berdasarkan pengalaman saya sendiri biasanya jika terdapat skandal besar yang melibatkan sesiapa, maklumat dan dokumen itu mungkin telah lama dikeluarkan kerana kita hidup di era dimana perkara seperti ini tidak boleh disembunyikan,” ujarnya.