SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa menerima maklumat terdapat gerakan terancang bagi melemahkan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) melalui sogokan serta ugutan terhadap ahli Parlimen gabungan tersebut.

Tegas beliau, Bersatu tidak akan tunduk dan tindakan yang lebih tegas akan diambil susulan dua lagi ahli Parlimen daripada parti berkenaan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ia bercanggah dengan pendirian parti dan pelanggaran disiplin serius selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan PN.

“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini (Khamis) untuk membincangkan perkembangan terbaharu ini.

“Saya menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi parti menangani perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim Ahli dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.

Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan tindakan tersebut pada 12 Oktober disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dua minggu kemudian.

Empat Ahli Parlimen Bersatu itu berbuat demikian setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasan masing-masing.

Mereka mengambil keputusan untuk menyokong inisiatif inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum (PRU) yang seterusnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian