Pengumuman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, dilihat sesetengah pihak sebagai sesuatu yang meragukan, terutama jika melihat senario politik tanah air tiga bulan kebelakangan ini.

Dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu mengundang beribu persoalan, kerana tiada ura-ura atau bisik-bisik yang kedengaran, dalam kalangan ahli parlimen dan parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk beralih sokongan.

Pengumuman itu juga dibuat ketika hanya berbaki tiga hari sahaja, sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN ) Sabah Sabtu ini. Namun ada yang berpendapat itulah strategi politik Anwar, untuk 'membantu' kemenangan PKR dan sekutunya, dalam pilihan raya negeri itu.

Penganalisis politik Mohd Roslan Mohd Saludin berpendapat, pengumuman yang dibuat Anwar pada dalam sidang media hari ini, seperti tidak kena dengan masanya.

"Apa yang saya nampak dalam dakwaan yang dibuat Anwar hari ini, lebih kepada mendapatkan sokongan pengundi Sabah. Ia boleh membuatkan pengundi di Sabah serba salah dan dalam dilema untuk memilih kerajaan PN, yang didakwa akan berubah di peringkat persekutuan," katanya kepada Bernama.

Anwar dalam sidang media hari ini, menyatakan beliau mempunyai majoriti sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen, untuk membentuk kerajaan baharu.

Anwar berkata, beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan, berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada PRN Sabah kali ini, PKR yang merupakan gabungan Warisan Plus, bertanding tujuh kerusi manakala Warisan 46 kerusi dan UPKO (12 kerusi), manakala DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menggunakan logo Warisan masing-masing bertanding tujuh dan satu kerusi. Warisan Plus bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah.

Sementara itu, Roslan berkata sekiranya dakwaan Anwar ini benar, rakyat dijangka menyaksikan proses yang sama selepas Perdana Menteri ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad, meletak jawatan pada 24 Feb lalu yang membawa kepada pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Katanya, ia tidak akan semudah yang dijangkakan, kerana prosesnya masih panjang.

"Walaupun Anwar mendakwa mendapat sokongan majoriti, Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai budi bicara yang perlu diambil kira dan proses ini akan mengambil masa," katanya.

Menurut Roslan, menjadi lumrah apabila sokongan kepada kerajaan dan pembangkang bersifat sama banyak atau hampir sama banyak, tiada satu kumpulan yang boleh mendabik dada memiliki sokongan mutlak, dalam demokrasi sedia ada.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Syed Agil Syed Alsagoff, juga berpandangan tindakan itu boleh dilihat sebagai satu manifestasi politik yang kurang baik kepada rakyat dan negara, memandangkan negara sedang berhadapan dengan masalah pandemik yang berterusan dan sektor ekonomi negara yang belum dapat dipulihkan.

"Memandangkan Anwar belum menghadap Yang di-Pertuan Agong, dakwaan ini akan mengundang pelbagai persepsi dan implikasi, kerana jumlah sokongan tersebut boleh berubah sehingga ia mendapat kepastian, seperti yang diperkhabarkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Beliau berkata, sekiranya apa yang diumumkan Anwar diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka boleh berlaku perubahan kerajaan dalam masa terdekat ini.

"Sekiranya dakwaan Anwar itu ternyata benar, elok Pilihan Raya Umum (PRU) baharu dilaksanakan dan menyerahkan kuasa memilih kerajaan baharu ini, kepada rakyat bagi mengekalkan kelestarian, kemakmuran dan keharmonian politik, di negara ini," katanya.