Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kedah pada Sabtu bahawa UMNO mampu mengekalkan kuasa jika 'jemuan-jemuan' (watak jahat) tidak berada dalam parti merupakan serangan balas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, kata DAP.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya berkata, nama yang terlintas di fikiran sebaik Najib berkata demikian ialah, bekas Presiden UMNO, Dr Mahathir dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

"Najib telah memilih Kedah untuk melakukan serangan, berucap di hadapan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, apabila semua orang yang ada di konvensyen itu dan di luar tahu bahawa yang dimaksudkan "jemuan jemuan", yang diselar oleh Najib adalah tidak lain daripada bapa Mukhriz, Tun Mahathir.

"Apakah Perdana Menteri dan Presiden UMNO paling lama berkhidmat disenaraikan sebagai "watak-watak jahat yang tidak dimahukan dalam UMNO" oleh Najib?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Najib dengan jelas membalas kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir sebelum ini, dengan menegaskan UMNO mampu untuk kekal berkuasa jika 'watak jahat' tidak berada dalam UMNO.

"Adakah Najib cuba untuk mengusir Mahathir dari UMNO, yang akan menjadi satu isu lain untuk Mahathir - berada di luar UMNO tiga kali, dua kali dipecat daripada UMNO dan sekali keluar dengan sendiri," katanya lagi.

Kit Siang turut mempersoalkan kenyataan Najib dalam ucapannya yang menegaskan beliau tidak akan melindungi apa-apa kesalahan dan tindakan yang dikenakan mengikut undang-undang.

Katanya, kes melibatkan pembunuhan Altantuya, pembunuhan Teoh Beng Hock dan kenyataan berunsur perkauman yang dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan kes yang tidak diadili dengan sewajarnya.

"Bagaimana Najib boleh terangkan mengenai kegagalan untuk memastikan bahawa orang yang zalim menghadapi tindakan di bawah undang-undang dalam tiga keadaan tersebut?" katanya.