Adly mula tugas Ketua Menteri Melaka hari ini

Astro Awani
Mei 14, 2018 02:29 MYT
Adly merakamkan kedatangannya ketika memulakan tugasnya sebagai Ketua Menteri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini. --fotoBERNAMA
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari memulakan tugasnya di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Beliau, yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Melaka, tiba di pejabatnya sekitar jam 8.30 pagi, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Roslan Ibrahim.
Adly, yang memakai sut hitam dan bertali leher kuning, mengambil masa kira-kira 10 minit bersalaman dan beramah mesra dengan kakitangan Jabatan Ketua Menteri Melaka serta petugas media yang hadir.
Sejurus itu, Adly mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi kerajaan negeri berkaitan urus tadbir negeri.
Beliau juga dijadual akan mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub.
Adly, 47 tahun, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 Jumaat lepas, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.
Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dengan majoriti 3,159 undi.
#Adly Zahari #Amanah #Ketua Menteri #Melaka #Mohd Khalil Yaakub #pengerusi