POLITIK

Aduan disiplin terhadap Muhyiddin tidak berasas - Tun Faisal

Sinar Harian 31/01/2026 | 10:45 MYT
Aduan disiplin terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan berbohong mengenai isu jawatan Pengerusi PN, disifatkan tidak berasas. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Aduan disiplin terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan berbohong mengenai isu jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan tidak berasas, mengelirukan serta berpunca daripada kegagalan memahami perlembagaan dan proses tadbir urus gabungan politik.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perlembagaan parti dengan jelas memperuntukkan kuasa eksekutif kepada Presiden sebagai pemimpin utama yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan dasar parti.

Menurutnya, perlembagaan turut memberi peranan kepada Presiden untuk memanggil dan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), sekali gus membolehkan rundingan dengan Presiden parti lain dijalankan secara sah.

“Ini bermakna rundingan dan perbincangan dengan Presiden parti lain, termasuk Presiden Pas adalah fungsi sah dan sebahagian daripada kuasa eksekutif Presiden, tanpa perlu kelulusan awal MPT,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan, tiada sebarang peruntukan perlembagaan yang melarang rundingan sedemikian dilakukan oleh Presiden parti.

Mengulas pertemuan antara Presiden Bersatu dan Presiden Pas, Tun Faisal berkata, perkara yang dibincangkan hanyalah rundingan serta cadangan awal dan bukan keputusan muktamad.

“Cadangan-cadangan ini hanya boleh menjadi keputusan rasmi selepas dibincangkan di peringkat jawatankuasa, diteliti dalam pre-council Presiden parti dan diluluskan melalui Mesyuarat MT PN atau MPT,” jelasnya.

Menurut beliau, kenyataan berkaitan penstrukturan semula PN yang berpotensi menyebabkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan adalah analisis implikasi struktur dan bukannya pengumuman keputusan.

"Dalam konteks pembentukan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif, kedudukan Pengerusi PN secara logiknya menjadi tidak relevan. Menjelaskan implikasi logik struktur bukan satu pembohongan," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Tun Faisal turut menjelaskan bahawa aduan disiplin tersebut bersandar sepenuhnya kepada surat dalaman Presiden Bersatu yang telah dibocorkan oleh pihak tertentu.

"Aduan ini bergantung sepenuhnya kepada surat dalaman Presiden Bersatu kepada Presiden-Presiden parti anggota PN yang telah dibocorkan oleh pihak tertentu yang menyebarkannya dalam sebuah grop Whatsapp seawal jam 11.26 pagi, dan bukannya kepada kenyataan awam atau keputusan rasmi.

"Hanya empat orang yang menerima surat tersebut, tiga Presiden parti dan salinannya kepada Timbalan Setiausaha PN.

"Surat itu juga tidak dikongsikan dalam sebarang platform rasmi Bersatu," ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, surat tersebut bersifat dalaman, sulit serta bertujuan untuk pertimbangan dan perbincangan lanjut.

"Dokumen dalaman yang dibocorkan dan ditafsir di luar konteks tidak boleh dijadikan asas tuduhan pembohongan atau kesalahan disiplin," menurut beliau.

Justeru, Tun Faisal berpandangan aduan itu cacat dari awal dan berpunca daripada kegagalan memahami kuasa Presiden, kegagalan membezakan antara rundingan dan keputusan muktamad serta penyalahgunaan dokumen dalaman yang dibocorkan.

"Berdasarkan perlembagaan parti, saya berpandangan bahawa Presiden parti bertindak dalam kerangka perlembagaan, dan tuduhan berbohong terhadap beliau adalah tidak berasas dan bukan kesalahan disiplin atau undang-undang," tambahnya. -- Sinar Harian






#Presiden Bersatu #Muhyiddin Yassin #tindakan disiplin #Pengerusi PN #letak jawatan #Tun Faisal