KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau pernah memaklumkan kepada Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berhubung hasrat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang ingin menukar parti.

Malah beliau juga mendakwa pernah menasihatkan Adun-Adun tersebut agar merujuk kepada Mohamad terlebih dahulu.

"Saya sendiri pernah maklum kepada presiden Amanah tentang cadangan awal dan saya nasihat awal, mereka perlu rujuk dulu kepada presiden parti Amanah," katanya katanya kepada pemberita di Port Dickson, pada Selasa.

Di sebalik apa yang berlaku itu Anwar berkata kemelut tersebut wajar dibincangkan dan diselesaikan secara baik di antara PKR dan Amanah.

Ketua Pembangkang itu juga yakin krisis tersebut tidak akan melemahkan kerjasama dalam Pakatan Harapan.

"Tak terjejas, saya masih berhubung rapat dengan baik," katanya lagi.

BACA: Survival politik Amanah dan setiakawan yang dikhianati

BACA: Dua Ahli Parlimen berpaling tadah, Anwar tetap dakwa ada jumlah majoriti

BACA: Tidak manis lompat parti sama gabungan - Salahuddin Ayub

Sehingga kini, lima Adun Amanah telah mengesahkan keluar parti dan menyertai PKR.

Baru-baru ini, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Amanah Negara (Amanah) dilaporkan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka masing-masing ialah Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim; Adun Serom, Faizul Amri Adnan serta Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Sebelum itu dua lagi wakil rakyat Amanah di Selangor iaitu Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman juga telah mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PKR.