ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang Mohamad Yusoff@Munir Zakaria dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang memegang portfolio Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga Kedah yang baharu.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pelantikan itu mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi menggantikan ADUN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob yang meletak jawatan Exco bagi portfolio itu pada 13 Oktober lalu.

"Sebentar tadi telah berlangsung majlis mengangkat sumpah di hadapan Kebawah Duli Teramat Mulia Tuanku Sultan lebih kurang jam 11 pagi..

"Bagi pihak kerajaan negeri Kedah dan seluruh jentera pentadbiran mengalu-alukan perlantikan ini dengan harapan semua pihak akan memberi kerjasama yang baik kepada Yang Berhormat Mohamad Yusoff@Munir untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah di amanahkan kepada beliau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Angkat Sumpah yang berlangsung di Wisma Darul Aman, hari ini.

Majlis Angkat Sumpah yang berlangsung di Wisma Darul Aman, hari ini. - Foto Astro AWANI

Sementara itu, Mohamad Yusoff@Munir, 58, berkata tanggungjawab yang diberikan kepada beliau merupakan amanah yang amat berat tambahan membabitkan portfolio berkenaan berikutan gangguan bekalan air kerap berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

"Bagi saya satu amanah yang amat berat dan saya diajar oleh guru saya bahawa jawatan ini bukan satu penghormatan sebenarnya, walaupun digelar Yang Berhormat tetapi sebenarnya ialah satu tanggungjawab, satu amanah bukan satu 'tashriq' bukan satu kehormatan tetapi sebaliknya satu tanggungjawab 'takliq' bagi kita orang Islam ini akan dipersoalkan di akhirat kelak," katanya.

Mohamad Yusoff@Munir yang mempunyai pendidikan Diploma Bangunan Univerisiti Teknologi MARA (UiTM), berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar untuk menggalas tugas itu dan menjunjung kasih kepada Sultan Kedah yang telah perkenan melantik beliau sebagai Exco bagi portfolio berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Perhubungan Pas Kedah berkata akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.