POLITICS
Afdlin Shauki sedia bekerjasama dengan Nik Nazmi

Afdlin turut menyeru agar reformasi politik diteruskan melalui pendidikan politik, ketelusan pentadbiran dan pembaharuan undang-undang, agar demokrasi benar-benar menjadi milik rakyat. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Menteri Nik Nazmi Nik Ahmad dalam usaha memperkukuh sistem demokrasi, sekali gus membentuk budaya politik baharu yang lebih progresif di negara ini.
Ringkasan AI
- Datuk Afdlin Shauki menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Nik Nazmi untuk memperkukuh demokrasi dan membentuk budaya politik baharu yang progresif, berlandaskan prinsip keadilan dalam politik, sosial dan ekonomi.
- Beliau menekankan bahawa keadilan adalah asas kepada demokrasi yang berfungsi, dan budaya politik baharu memerlukan pemimpin berintegriti serta institusi yang bebas dan telus.
- Afdlin turut menyeru agar reformasi politik diteruskan melalui pendidikan politik, ketelusan pentadbiran dan pembaharuan undang-undang, agar demokrasi benar-benar menjadi milik rakyat.
"Bagaimanapun, apakah ertinya demokrasi jika keadilan tidak ditegakkan? Keadilan dalam politik, sosial, dan ekonomi perlu diwujudkan secara seimbang dalam usaha memastikan kepercayaan rakyat untuk terus terlibat dalam proses politik negara.
“Keadilan dalam politik memberikan ruang sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang; keadilan sosial memastikan tiada golongan dipinggirkan, manakala keadilan ekonomi menjamin pembahagian sumber secara saksama agar kekayaan tidak hanya dinikmati golongan tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 di sini pada Sabtu dengan tajuk 'Keadilan Sebagai Tonggak Demokrasi Dalam Membentuk Budaya Politik Baharu.'
Untuk rekod, pengarah, pelakon dan pelawak tersebut telah menewaskan Nik Nazmi dalam pemilihan peringkat Cabang pada bulan lalu.
Afdlin berkata, cabaran utama ketika ini yang dilihat mengancam kestabilan demokrasi adalah ketidakstabilan politik, manipulasi maklumat di media sosial, serta birokrasi yang tidak telus.
Justeru katanya, demokrasi tidak akan bermakna jika keadilan tidak ditegakkan secara menyeluruh.
"Budaya politik baharu perlu berlandaskan kepada prinsip keadilan yang bermula daripada pemimpin yang berintegriti dan institusi bebas, namun tanpa tindakan tuntas, perubahan yang berlaku hanya di permukaan, sedangkan akar sistem tetap rapuh.
"Mengambil contoh di Cabang Setiawangsa, landskap politik setempat telah berubah sejak kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dan 2022, namun pendekatan inklusif dan harmoni terus dikekalkan.
“Kita tidak mencantas teman seperjuangan, sebaliknya kita saling memperkukuh dengan ukhuwah kekeluargaan. Kekuatan ini hadir daripada semangat saling memahami dan menghormati,” katanya.
Tambahnya, keadilan bukan slogan tetapi satu keperluan bagi memastikan demokrasi benar-benar menjadi milik rakyat.
"Reformasi politik diteruskan dengan memberikan penekanan kepada pendidikan politik, ketelusan pentadbiran dan pembaharuan undang-undang.
"Kongres Nasional kali ini menjadi titik permulaan ke arah parti yang lebih progresif, bersatu dan benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami