POLITIK

Agenda Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional penjenamaan semula UMNO, BN

Asyraf Malik 16/01/2026 | 06:30 MYT
Datuk Seri Azalina Othman Said (kiri) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (kanan).
KUALA LUMPUR: UMNO kini disifatkan sebagai Rumah Bangsa yang menjadi tempat kembali, berteduh dan menyatukan semula orang Melayu tanpa retorik atau dendam sejarah.

Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata UMNO tempat segalanya bermula, malah kebanyakan parti politik yang ketika ini mengangkat agenda kepentingan Melayu merupakan serpihan daripada UMNO.

"Walaupun UMNO sekarang bukan di 'tempat duduk pemandu' untuk mengemudi Kerajaan Perpaduan, UMNO mahu menjadi asas kepada penyatuan Melayu dan Islam ke arah mencapai kestabilan, ini peranan parti untuk sekarang dan akan datang.

"UMNO tidak mahu retorik politik, bercakap tentang menyatukan bangsa tetapi apabila diusahakan, hanya berbalah. Pengundi bukan lagi memandang isu agama dan kaum semata-mata, sebab itu kita memerlukan penjenamaan semula.

"Hasrat kita ayuh duduk bersama dan bincangkan tentang agenda pemerkasaan Melayu ini, biar tersusun perangkaannya," ujar Azalina ketika ditemui pemberita, di sini, pada Jumaat.

Beliau mengulas ucapan dasar disampaikan Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2025.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beliau menyokong gagasan Presiden untuk menganjurkan Musyawarah Nasional bagi memperbaiki naratif dan memulihkan keyakinan orang Melayu terhadap parti.

"Selain itu, Presiden UMNO turut memberi gambaran akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk meneliti penyertaan semula mana-mana bekas ahli parti itu.

"Sesiapa yang ingin kembali atau pernah diambil tindakan, kita terima balik. Harapan kita adalah orang Melayu bertaut kembali di bawah Rumah Bangsa UMNO ini.

"Satu pembukaan yang baik untuk tahun baharu 2026, demi perjuangan bangsa Melayu, bumiputera, pada waktu sama tidak menafikan kaum-kaum lain di negara kita ini.

"Musyawarah Nasional dan Rumah Bangsa itu saling berkaitan, kita harap agar ia segera ditubuhkan serta dilaksanakan," kata Ahmad Maslan.




#UMNO #Rumah Bangsa #Musyawarah Nasional #Azalina Othman Said #Ahmad Maslan #Ahmad Zahid Hamidi