KUALA LUMPUR: Perbezaan besar antara peruntukan yang diterima Ahli Parlimen kerajaan dengan pembangkang menyebabkan bantuan tidak dapat diberikan sekata kepada rakyat.

Kata Ahli Parlimen Seremban merangkap Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, pengagihan peruntukan ketika waktu pandemik ini terutamanya perlu lebih adil kerana seluruh rakyat perlu dibantu tidak kira apa warna bendera pilihan mereka.

“Memang wakil rakyat tugasnya turun padang tengok masalah rakyat. Saya sendiri tiap-tiap hari berada di kawasan.

“Tapi dari segi peruntukannya tak sama. Ahli Parlimen kerajaan mendapat RM3.5 juta, tapi untuk Ahli Parlimen pembangkang hanya RM100,000 sahaja. Jadi bezanya cukup besar,” kata Anthony Loke.

Maka kerana itu, katanya, sidang Parlimen perlu dibuka semula dengan segera supaya hal sedemikian dapat diperbahas dan diubah untuk kebaikan rakyat secara keseluruhannya.

Selain jumlah peruntukan, perkara yang perlu diberi perhatian dan diperhalusi semula ialah kerenah birokrasi yang dilihat melambatkan usaha pemulihan negara.

“Memang ada banyak cadangan daripada Ahli-Ahli Parlimen dan semuanya kita boleh buat, tapi yang penting ialah satu dasar yang dapat kurangkan birokrasi.

“Kadang-kadang bukan orang atasan tak beri kerjasama, atau tak mahu buat kerja, tetapi masalah birokrasi,” jelasnya.

Tonton sesi penuh "Dialog Tiga Penjuru: Formula Pemulihan Negara" bersama hos, Dzulfitri Yusop, di sini:


Dialog Tiga Penjuru: Formula pemulihan negara